SEOUL: Parlimen Korea Selatan semalam, meluluskan rang undang-undang yang melarang pengendali stor aplikasi utama seperti Google dan Apple memaksa pembangun perisian menggunakan sistem pembayaran mereka.
Keputusan itu bakal menghentikan tindakan operator terbabit daripada mengenakan komisen untuk pembelian dalam aplikasi.
Langkah itu merupakan tindakan pertama dilakukan oleh sebuah negara ekonomi utama ke atas Apple Inc. dan Alphabet Inc.
Dalam undian semalam, seramai 180 daripada 188 Ahli Parlimen mengundi meluluskan pindaan ke atas Akta Perniagaan Telekomunikasi dikenali sebagai `Undang-undang Anti-Goolge.’
Persatuan Korporat Internet Korea, sebuah badan mewakili firma teknologi komunikasi (IT) Korea, menyambut baik keputusan Parlimen itu.
Google sebelum ini menghadapi kritikan global kerana mensyaratkan penggunaan sistem pembayaran proprietari yang mengenakan komisen sehingga 30 peratus.
“Kami akan meneliti cara mematuhi undang-undang itu sambil mempertahankan model yang mendukung sistem operasi dan aplikasi berkualiti tinggi, dan kami akan kongsikan lebih banyak lagi (maklumat) dalam beberapa minggu mendatang,” kata jurucakap Google dalam satu kenyataan kepada Reuters.
Menurut Google, Google Play menyediakan lebih banyak kemudahan, bukan setakat pemprosesan pembayaran.
Jelasnya, bayaran perkhidmatan yang disediakan membantu Android kekal percuma, memberikan alat dan platform global untuk mengakses berbilion pengguna di seluruh dunia.
“Ia adalah model yang memastikan kos peranti rendah bagi pengguna dan memungkinkan platform dan pembangun berjaya dari segi kewangan. Sama seperti kos untuk pembangun membina aplikasi, kami juga memerlukan wang untuk membina dan menyelenggara sistem operasi dan gedung aplikasi,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Apple berkata, pihaknya percaya keyakinan pengguna terhadap pembelian App Store akan berkurangan hasil daripada keputusan itu. – AGENSI










