Komited bangun semula ekonomi - Utusan Malaysia

Komited bangun semula ekonomi

PENULARAN pandemik Covid-19 dan kemelut politik berpanjangan telah menjejaskan pelan pemulihan ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia komited untuk menbangunkan semula ekonomi lebih kompetitif sebagai usaha meletakkan bidang itu pada kedudukan lebih kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam usaha itu, kerajaan akan mengkaji semula dasar dan strategi termasuk mewujudkan persekitaran dasar kondusif bagi sektor swasta selain untuk kemudahan pelabur tempatan dan asing.

Beliau berkata, antara langkah penting ialah intipati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu sebuah rancangan pembangunan negara dalam tempoh lima tahun yang akan dibentangkan pada 27 September ini yang mana pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak April 2019.

“Seperti rancangan lima tahun sebelumnya, RMK12 akan memberikan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan.

“Ia menyediakan panduan kepada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan masyarakat secara umum me­ngenai keseluruhan hala tuju kerajaan Malaysia,” katanya dalam ucaptama di webinar bertajuk ‘RMK-12: Membangunkan Negara dalam Semangat Keluarga Malaysia’, semalam.

MUSTAPA MOHAMED

Mustapa berkata, kerajaan turut memberi fokus kepada pertumbuhan dan pembangunan inklusif serta menghasilkan lebih banyak perpaduan dan penyatuan dalam konteks Keluarga Malaysia.

Katanya, ini termasuk memastikan mekanisme penyampaian kerajaan ditingkatkan untuk memenuhi matlamat pembangunan negara.

Dalam pada itu, Mustapa menggariskan beberapa keuta­maan kerajaan dalam tempoh 10 tahun akan datang termasuk meningkatkan pen­dapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah.

“Ini bagi memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan iaitu pertumbuhan tanpa menjejaskan persekitaran.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan dasarnya sentiasa mengambil kira keperluan memulihara kekayaan kepelbagaian bionegara demi kepen­tingan generasi masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN