PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah berjaya memuktamadkan penempatan 138.4 juta saham (kira-kira 1.4 peratus) dalam CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) pada harga RM4.80 sesaham.
Kejayaan itu membolehkan Khazanah meraih kira-kira RM664.5 juta.
Menurut Khazanah, harga penempatan itu mewakili 2.8 peratus diskaun pada harga penutup pasaran RM4.94 yang dicatatkan pada 8 September lalu.
“Urus niaga penempatan saham tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Khazanah untuk mengimbangi semula portfolionya serta mengitar semula pelaburannya ke dalam aset baharu di Malaysia dan peringkat global, termasuk pelaburan baharu bawah Dana Impak,” katanya dalam kenyataan.
Khazanah berkata, sejajar dengan objektif inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang digariskan kerajaan, Dana Impak bertujuan untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, membangun daya saing ekonomi Malaysia serta meningatkan daya tahan sambil memacu hasil sosio-ekonomi utama negara.
Tambahnya, lanjutan daripada penempatan tersebut, Khazanah masih kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam CIMB dengan pegangan 25.6 peratus.
“Penempatan itu menyaksikan saham-saham tersebut diagihkan kepada beberapa dana berkaitan kerajaan, pelabur institusi jangka panjang domestik dan asing, pemegang saham sedia ada dan beberapa dana lain.
“CIMB dan Credit Suisse merupakan pengatur bersama urus niaga penempatan saham tersebut,” jelasnya.
Khazanah merupakan dana kekayaan berdaulat negara yang diamanahkan untuk melabur bagi menghasilkan nilai mampan pagi rakyat Malaysia, melalui objektif komersial dan strategi berbeza.
Objektif komersial Khazanah adalah untuk membangunkan aset kewangan serta mempelbagaikan sumber pendapatan untuk negara.
Objektif strategiknya pula adalah untuk memegang aset strategik yang membawa hasil ekonomi jangka panjang.
Khazanah dipandu oleh falsafah pelaburannya yang menekankan kepada pencapaian pulangan kewangan yang disesuaikan dengan risiko, menghasilkan pulangan yang mampan serta menginterasikan pertimbangan pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab. – UTUSAN










