PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) 10 peratus lebih tinggi untuk separuh pertama tahun kewangan 2021 berakhir 31 Julai lalu kepada RM228.37 juta berbanding RM207.49 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Henry Tan berkata, walaupun PATAMI keseluruhan separuh pertamanya meningkat, sekatan pergerakan berterusan dan kos kandungan yang lebih tinggi disebabkan penyiaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kejohanan Euro 2020 menyebabkan pencapaian mereka pada suku kedua berakhir 31 Julai lalu merosot.
Pada suku tersebut, Astro mencatatkan PATAMI RM87.13 juta, lebih rendah berbanding RM133.65 juta yang dicatat pada suku sama tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, penyiaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Euro 2020 membawa pencapaian tersendiri kepada Astro apabila Sukan Olimpik menjangkau tontonan sebanyak 10.7 juta merentasi semua saluran sukan manakala Euro 2020 mencapai 8.9 juta tontonan.
Menurut Henry, produk baharu yang ditawarkan Astro mendapat sambutan apabila setakat ini syarikat itu telah mendaftarkan sebanyak satu juta perkhidmatan kotak bersambung dan lebih 400,000 perkhidmatan Ultra dan Ulti Box.
Ia termasuk kotak pemasangan sendiri yang baru dilancarkan, Ultra Plug & Play Box yang berfungsi sepenuhnya menggunakan jalur lebar.
“Kediaman yang dilengkapi perkhidmatan ini dapat menikmati pengalaman baharu menerusi On Demand, Rakaman Awan, ciri Main dari Mula dan tontonan terus kandungan dari perkhidmatan penstriman, ciri yang dapat mula dinikmati tidak lama lagi.
“Dalam pada itu, Astro GO mempertingkatkan perkhidmatannya dengan memperkenalkan mod interaktif untuk siaran acara sukan secara langsung dan kini merekodkan sejumlah 1.6 juta pengguna aktif setiap bulan dengan kadar purata tontonan selama 230 minit setiap minggu,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi pula berkata, keputusan separuh tahun pertama syarikat itu kekal berdaya tahan walaupun dicabar penguatkuasaan sekatan pergerakan yang dilanjutkan sebelum ini.
“Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
“Justeru, pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim kedua bernilai 1.5 sen sesaham,” katanya. – UTUSAN










