PETALING JAYA: Kerajaan sedang menumpukan kaedah pengurusan wabak yang berkesan dengan memutuskan rantaian penularan, di samping membekalkan sokongan mencukupi terhadap keperluan bukan Covid-19 di negara ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tidak dinafikan Covid-19 telah membuktikan penjagaan kesihatan awam adalah asas penting dalam membolehkan sektor lain beroperasi.
Ujarnya, kerajaan tidak akan berkompromi dan meletakkan perkhidmatan kesihatan awam pada kedudukan lebih kukuh menerusi Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dan Bajet 2022.
“Beberapa langkah sedang dikaji termasuk menerapkan sistem dan perkongsian yang sentiasa dapat ditingkatkan dengan pantas dalam mendepani pandemik antaranya melaksanakan sistem dan kerjasama yang ‘sentiasa aktif’ semasa pandemik.
“Kerajaan juga komited memperkukuh mekanisme nasional dan tempatan untuk mengesan penyakit berjangkit dan menghentikan penularan pada peringkat awal dan memastikan kesediaan sistem kesihatan dalam menangani peningkatan kes di samping mengekalkan perkhidmatan perlu dan membangunkan agenda pencegahan wabak bersepadu.
“Semua langkah ini akan memastikan nyawa dilindungi dan kelangsungan hidup, dalam masa sama membolehkan sektor ekonomi dibuka untuk perniagaan,” ucapnya dalam Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang dijalankan secara maya, semalam.
Tengku Zafrul menegaskan, mencapai tahap imuniti kelompok adalah sasaran yang menjadi faktor utama dalam pemulihan Malaysia.
“Pada 7 September, lebih 20 juta atau 89 peratus daripada populasi dewasa negara telah menerima vaksin pertama termasuk 16 juta atau 70 peratus telah divaksinasi sepenuhnya.
“Kita dalam perjalanan memberi vaksin lengkap kepada 80 peratus populasi dewasa akhir September ini sebelum mencapai 100 peratus pada akhir Oktober.
“Selepas itu, kita akan mula hidup dengan Covid-19 sebagai penyakit endemik,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini, kerajaan melihat usaha ini membuahkan hasil menerusi jumlah kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang terus menurun.
“Ini dapat dilihat terutamanya di kawasan yang lebih 60 peratus populasi dewasanya telah divaksinasi sepenuhnya.
“Dengan Selangor, Kuala Kuala Lumpur dan Putrajaya bergerak ke Fasa 2 pada 10 September, kerajaan akan membuka semula lebih banyak aktiviti ekonomi yang akan memacu pemulihan ekonomi negara kita,” jelasnya. – UTUSAN










