Kekurangan cip mungkin berlanjutan sehingga 2023 - Utusan Malaysia

Kekurangan cip mungkin berlanjutan sehingga 2023

Persatuan pekerja kerajakan laksanakan gaji minimum RM1,500 tanpa pengecualian.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRANKFURT/OHIO: Isu kekurangan cip semikonduktor yang membelenggu industri automotif global mungkin tidak akan berakhir tahun hadapan, malah dijangka berlanjutan sehingga 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Daimler AG, Ola Kallenius berkata, ada harapan untuk situasi menjadi lebih baik menjelang suku keempat ini namun beliau menjangkakan kesan daripada isu permintaan struktural akan mempengaruhi industri pada tahun hadapan.

Daimler AG yang merupakan pemilik jenama Mercedes-Benz baru-baru ini mengurangkan unjuran jualan tahunan untuk bahagian keretanya, menjangkakan penghantaran secara kasar berada pada tahap 2020.

Jenama kereta terkenal itu terkesan pada suku ini disebabkan penutupan kilang di Malaysia yang beberapa tahun ini muncul sebagai pusat utama pengujian dan pembungkusan cip.

Antara kilang yang menjadi pembekal utama di Malaysia ialah Infineon Technologies AG, NXP Semiconductors NV dan STMicroelectronics NV.

Bulan lalu, pembuat cip dari Jepun yang menjadi pembekal kepada Toyota Motor Corp. juga meramalkan masalah bekalan akan berlanjutan sepanjang tahun hadapan.

Sementara itu, AP melaporkan, peningkatan harga pengguna kenderaan termasuk kenderaan baharu, terpakai dan sewaan disebabkan kekurangan cip akan berlanjutan sehingga tahun hadapan dan mungkin tidak akan berkurang sehingga 2023.

Ia berikutan peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Delta di beberapa negara Asia yang menjadi pengeluar utama cip, menyebabkan bekalan kenderaan terus kurang.

Kekurangan bahagian kenderaan global juga bukan hanya melibatkan cip komputer, malah bahagian lain seperti harnes dawai, plastik dan kaca.

Akhir bulan lalu, kekurangan semikonduktor dan alatan lain semakin serius sehingga Toyota mengumumkan pengurangan pengeluaran sehingga sekurang-kurangnya 40 peratus di Jepun dan Amerika Utara untuk dua bulan.

Pengurangan tersebut melibatkan 360,000 kenderaan di seluruh dunia pada September dan Toyota mengunjurkan kerugian pengeluaran sehingga Oktober.

Nissan yang pada Ogos lalu mengumumkan penutupan kilangnya di Smyrna, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) sehingga 30 Ogos telah melanjutkan penutupan tersebut sehingga 13 September sementara pengedar Honda bersedia untuk penghantaran yang lebih rendah.

Kesannya, pembeli kini berhadapan peningkatan harga berterusan dan di luar jangkaan apabila purata harga kenderaan baharu di AS pada Ogos mencapai harga tertinggi pada AS$41,000 (RM169,945), hampir AS$8,200 (RM33,989) lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya, menurut anggaran JD Power.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN