
Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan tragedi bencana alam di Yan, Kedah, apabila fenomena ‘kepala air’ telah meragut enam nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang serius.
Kejadian ini sangat membimbangkan dan telah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri kerana tidak pernah terjadi bencana sedemikian di kawasan tersebut sebelum ini.
Menurut pihak Jabatan Meteorologi Malaysia, antara punca ia terjadi adalah kerana kadar intensif hujan yang sangat tinggi. Fenomena ini ada kaitannya dengan peningkatan suhu dunia yang menyebabkan ketidaktentuan iklim termasuk cuaca melampau atau ekstrem.
Keadaan ini berlaku akibat kerosakan alam sekitar kesan daripada aktiviti-aktiviti manusia sendiri. Kita juga dapat melihat terdapat bencana alam yang hampir sama terjadi di negara-negara membangun seperti Jepun, Turki, China, Jerman dan Austria pada tahun ini.
Dalam menangani cabaran ini, kerjasama semua pihak adalah amat penting, terutamanya dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.
Bagi sektor kewangan di Malaysia, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) telah ditubuhkan pada 2019. Ia bermatlamat untuk mewujudkan tindakan usahasama bagi memastikan daya tahan sektor kewangan Malaysia dalam menghadapi perubahan iklim.
Jawatankuasa JC3 ini dipengerusikan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta dianggotai oleh peserta industri kewangan.
Menurut BNM, lebih kurang 11.7 peratus aset yang dipegang oleh industri kewangan terdedah kepada risiko perubahan cuaca.
Oleh itu, antara mandat dan usaha jawatankuasa ini adalah untuk memastikan peserta industri kewangan menjadi peneraju utama dalam usaha menguruskan risiko berkaitan iklim serta memainkan peranan untuk memastikan sektor-sektor perniagaan yang dibiayainya dapat mengambil langkah-langkah perlu untuk beralih kepada amalan yang mampan dan lestari.
Selain itu, ahli JC3 bersama agensi kerajaan akan bekerjasama meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan termasuk masyarakat mengenai perubahan iklim, kesannya terhadap kehidupan serta usaha yang boleh dilakukan bersama dalam menguruskan cabaran ini.
Sebagai contoh, ahli JC3 akan bekerjasama dalam menyokong usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050, terutamanya dalam memenuhi keperluan kewangan lestari bagi ibu kota Malaysia.
Bagi industri kewangan Islam pula, selain menyokong inisiatif JC3, institusi perbankan Islam dan pengendali Takaful, terus komited dalam melaksanakan inisiatif Perantara Berdasarkan Nilai atau Value Based Intermediation (VBI) bagi meningkatkan nilai tambah industri kewangan Islam.
Antara tujuan utama VBI adalah untuk memperkasakan penerapan nilai-nilai Maqasid Syariah di dalam produk dan perkhidmatan perbankan Islam dan Takaful. Antara teras utama VBI adalah ‘Al-daruriyat’ iaitu objektif menjaga kehidupan manusia di dunia yang berasaskan keperluan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Inisiatif VBI ini menyumbang secara langsung terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar serta menangani dan menghadapi risiko perubahan cuaca. Ini adalah antara ikhtiar industri kewangan Islam secara proaktif dalam menyokong pembangunan dan ekosistem yang lebih mampan dan lestari, ibarat menyediakan payung sebelum hujan.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN








