PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan dan yang memerlukan melalui `Program Bantuan Makanan Johor Port’, baru-baru ini.
Menurut Johor Port, program dianjurkan bagi membantu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh golongan terbabit, membabitkan sumbangan pek makanan termasuk nasi, pelbagai hidangan protein, sayur-sayuran dan air mineral.
Jelasnya, agihan pek makanan telah dibuat selama seminggu bermula 20 Ogos lalu di Jalan Dataran Larkin 3, Johor Bahru.
“Makanan disediakan oleh pengusaha makanan yang berpengalaman dalam menyediakan hidangan untuk golongan gelandangan dan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Program itu merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Masyarakat Insani Kaseh Negeri Johor (i-Kaseh), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu masyarakat kurang bernasib baik dan miskin di Johor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, memberi semula kepada masyarakat memerlukan terutama di kawasan pelabuhan, merupakan fokus inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Johor Port.
“Seiring dengan moto CSR kami iaitu Johor Port Peduli, kami sedar bahawa masih ada yang berdepan dengan kesulitan untuk mendapatkan makanan yang mencukupi lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.
“Oleh itu, kami mengadakan program ini yang secara tidak langsung dapat membantu dan menyokong perniagaan kecil seperti katering yang juga terjejas berikutan wabak Covid-19,” katanya.
Yang Dipertua i-Kaseh, Zuraini Tahir pula berkata, pihaknya menghargai keprihatinan dan kesungguhan syarikat korporat membantu golongan gelandangan dan memerlukan.
“Kami berharap usaha murni itu dapat dilaksanakan secara berterusan. Kami mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sektor swasta dalam program kemasyarakatan seperti yang dilaksanakan Johor Port ini,” katanya.- UTUSAN








