IPO CEKD terlebih langganan 131.61 kali - Utusan Malaysia

IPO CEKD terlebih langganan 131.61 kali

YAP KAI NING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tawaran awam permulaan (IPO) oleh CEKD Berhad (CEKD) terlebih langganan sebanyak 131.61 kali menjelang penyenaraian Kumpulan itu di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada 29 September ini.

Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning berkata, syarikat sangat menghargai keyakinan teguh para pelabur terhadap CEKD, perniagaan, prospek dan perancangan masa depannya.

“Hasil kerja keras kami membina perniagaan yang mampan kini berbaloi,” katanya dalam kenyataan.

Kai Ning berkata, ini hanya permulaan perjalanan korporat dengan pelan perluasan akan memberi dorongan kepada pertumbuhan perniagaan Kumpulan.

“Ini juga sebahagian daripada strategi bagi meningkatkan pengautomasian dan kapasiti bagi memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan baharu kami,” jelas beliau.

Menurut CEKD, Kumpulan menjana RM24.28 juta daripada proses IPO itu dengan hasil daripadanya akan digunakan untuk mengambilalihan kilang bagi Hotstar sebanyak RM8.8 juta, pembelian mesin baharu (RM3 juta).

Selain itu, sebanyak RM1.3 juta akan digunakan untuk menambah baik dan pembangunan perisian dan pelayan komputer, sementara RM3 juta lagi bagi pembayaran balik pinjaman bank dan bakinya untuk aktiviti pemasaran, modal kerja am serta perbelanjaan penyenaraian.

Jelasnya, untuk IPO ini, sejumlah 18,884 permohonan diterima bagi 1,290,183,500 saham baharu bernilai RM619.29 juta daripada rakyat Malaysia, yang mewakili keseluruhan kadar terlebih langganan sebanyak 131.61 kali.

Bagi saham peruntukan bumiputera pula, sebanyak 10,413 permohonan untuk 593,591,600 saham baharu telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 121.03 kali.

“Bahagian orang awam pula, sebanyak 8,471 permohonan diterima untuk 695,591,900 saham baharu, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 142.20 kali.

“Sementara itu, sebanyak 9,729,000 saham baharu yang diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan serta individu perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

“Selain itu, ejen penempatan mengesahkan bahawa sebanyak 31,132,000 saham yang diperuntukkan menerusi kaedah penempatan persendirian juga telah diambil sepenuhnya,” katanya.

Menurut CEKD, notis pengundian akan dihantar secara pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 28 September ini.

Syarikat itu memberitahu, M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×