PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) mengambil inisiatif menganjurkan Hari Perniagaan Digital HLB bagi membantu perniagaan di Malaysia memperkenalkan strategi dan penyelesaian digital.
Dengan tema ‘Mentransformasikan Perniagaan Anda dalam Era Digital’, persidangan digital itu juga akan membantu perniagaan memanfaatkan penyelesaian dan strategi digital bagi terus memacu pertumbuhan perniagaan dan kelebihan kompetitif.
Pengarah Urusan Perbankan Korporat Perniagaan HLB, Yow Kuan Tuck berkata, teknologi digital telah mengubah cara perniagaan dijalankan dengan pantas, daripada membantu perniagaan meningkatkan keberkesanan operasi kepada menghubungkan perniagaan dengan pelanggan.
Kata beliau, melalui libat urus HLB dengan pihak korporat dan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pihaknya menyedari kewujudan jurang dari segi panduan dan sumber untuk memulakan transformasi digital dan menginovasikan perniagaan mereka.
“Bersama dengan industri, pemimpin perniagaan dan klien HLB, kami percaya perniagaan akan mendapat manfaat yang besar daripada pandangan secara langsung dan berharga daripada persidangan maya ini.
“Kami berharap peserta akan mengambil peluang untuk bertanyakan soalan-soalan sukar dan belajar tentang blok pembinaan pendigitalan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan memperoleh kelebihan persaingan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hari Perniagaan Digital HLB akan diadakan pada 9 September ini bermula pukul 3 petang dan membincangkan topik-topik seperti bantuan dan sokongan yang tepat mengikut keperluan perniagaan; mempercepat pertumbuhan dan mencapai pasaran yang lebih luas untuk meneroka penyelesaian terbaharu serta platform untuk membawa perniagaan ke dalam talian.
Antara pembicara yang akan ditampilkan ialah Pengurus Unit Penerimaan Digital Perniagaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hazwan Hussein; Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan dan Pengasas Bersama EasyStore, Alan Kok; Pengarah Farmasi Keluarga Health Lane, Loh Hey King; Ketua Strategi Perniagaan Digital RinggitPay, Reza Tan; jurulatih Google, Henry Ang dan Ketua Jabatan Teknologi Web Senheng, Dr. Phua Bing Zhao. – UTUSAN








