PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan Hizzan Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWEST Sdn. Bhd. (KWEST) berkuat kuasa 1 September lalu.
KWEST merupakan cabang hartanah dana pencen itu yang ditubuhkan pada 2017.
Menurut KWAP, Hizzan akan menggantikan bekas CEO KWEST, Sufian Abdullah.
Jelasnya, Hizzan merupakan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Gamuda Land, berpengalaman dalam menguruskan perolehan hartanah dan hartanah komersial.
“Beliau mempunyai pengalaman profesional dalam bidang hartanah selama 14 tahun dalam pengambilalihan tempatan dan antarabangsa, serta memudahcara usaha sama antara syarikat pembangunan hartanah terkemuka dan organisasi berkaitan kerajaan.
“Hizzan juga pernah memegang jawatan penting di Sunway Property dalam pembangunan perniagaan dan bank tanah serta Malaysia Property Incorporated (MPI) dalam membawa pelaburan langsung asing ke dalam pasaran hartanah Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jelas KWAP lagi, Hizzan merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengurusan perniagaan dari University of Bolton United Kingdom (UM) dan Sarjana Kewangan dari Taylor University.
KWEST syarikat milik penuh KWAP ditubuhkan pada 2017 dan merupakan platform pelaburan tujuan khas untuk pembangunan hartanah. Projek utama KWEST termasuk Seri Tanjung Pinang 2 Fasa 2A (STP2A) dan Compass @ KSL. – UTUSAN










