Harga minyak mentah terus jatuh - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah terus jatuh

KEPUTUSAN OPEC dan sekutunya mengekalkan keputusan menambah pengeluaran minyak mentah, bakal meningkatkan bekalan di pasaran seterusnya menjejaskan harga komoditi itu. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OPEC+ kekalkan keputusan tingkat pengeluaran 400,000 sehari

TOKYO: Harga minyak mentah jatuh semalam, selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeskport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) sepakat untuk mengekalkan dasar meningkatkan bekalan komoditi itu di pasaran.

Keputusan itu dibuat ketika dunia masih berdepan peningkatan kes pandemik Covid-19, sementara masih banyak kilang penapisan minyak di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sumber utama permintaan minyak mentah, masih belum beroperasi.

Minyak mentah Brent meneruskan kejatuhan dalam sesi dagangan semalam apabila jatuh 16 sen lagi atau 0.2 peratus kepada AS$71.43 (RM297.01) setong, selepas susut 4 sen kelmarin.

Sementara West Texas Intermediate (WTI) pula jatuh 23 sen atau 0.3 peratus kepada AS$68.36 (RM284.24) setong, selepas naik 9 sen pada sesi dagangan sebelum itu.

Negara anggota OPEC dan pengeluar petroleum lain termasuk Rusia, kelmarin bersetuju untuk meneruskan dasar meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 400,000 tong sehari.

OPEC+ turut menaikkan ramalan permintaannya untuk 2022, meskipun menghadapi tekanan supaya mempercepat pengeluaran daripada pentadbiran Pre­siden Joe Biden, yang mengatakan ‘gembira’ apabila kumpulan itu telah menegaskan komitmennya untuk meningkatkan penawaran.

“Apa yang tidak begitu pasti adalah, apakah permintaan akan dapat berkembang secepat ramalan OPEC+ dan pasaran, mengambil kira risiko lockdown baharu untuk melawan penyebaran Covid-19 yang masih tidak dapat diselesaikan,” kata Ketua Tenaga bagi pasaran minyak Rystad ­Energy, Bjornar Tonhaugen, dalam sebuah nota.

Di AS, kilang penapis minyak di Louisiana mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk memulakan semula operasi selepas Taufan Ida melanda wilayah itu.

Syarikat-syarikat tenaga dilaporkan berusaha untuk menyambung semula operasi di Teluk Mexico, dengan pengeluaran kira-kira 1.4 juta tong minyak sehari masih tidak dapat dibuat, kata pengawal selia luar pesisir AS.

Pentadbir Maklumat Tenaga AS berkata, inventori minyak mentah di negara itu turun sebanyak 7.2 juta tong dan produk petroleum yang dibekalkan oleh kilang penapisan pula mening­kat ke paras rekod, walaupun terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

“Stok nampaknya akan meningkat pada minggu-minggu mendatang kerana laporan menunjukkan aktiviti kilang akan memakan masa lebih lama untuk dimulakan semula selepas dibadai Taufan Ida,” kata ahli ekonomi komodi­ti di Capital Economics, Kieran Clancy. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN