BENGALURU: Harga emas melemah ketika dolar terus kukuh, sementara pelabur berhati-hati menunggu pembacaan harga pengguna Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada minggu ini.
Emas jongkong kekal pada AS$1,787.40 (RM7,411.10) seauns, setelah mencatatkan penurunan mingguan 2.1 peratus.
Niaga hadapan emas AS jatuh 0.3 peratus kepada AS$1,786.90 (RM7,409.02).
Indeks dolar sedikit mengukuh dalam perdagangan Asia setelah memberikan kenaikan mingguan 0.6 peratus sekali gus menjadikan emas lebih mahal bagi pemegang mata wang lain.
Data pada Jumaat lalu menunjukkan harga pengeluar AS meningkat dengan kukuh pada Ogos, membawa kepada kenaikan tahunan terbesar dalam hampir 11 tahun.
Pembacaan itu menjadikan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun lebih tinggi.
Walaupun sebilangan pelabur memandang emas sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang lebih tinggi, hasil yang lebih tinggi dilihat menjadi kos peluang yang lebih tinggi untuk pemegang bulion tanpa faedah.
Presiden The Fed Cleveland, Loretta Mester Jumaat lalu berkata, bank pusat perlu mengurangkan pembelian aset tahun ini.
Permintaan emas fizikal di India mula mereda minggu lalu walaupun terdapat perubahan dalam harga ‘bulion’, sementara pengguna di kebanyakan hab Asia yang lain juga berhati-hati kerana mereka mengharapkan trend harga global yang lebih jelas.
Platinum turun 0.1 peratus kepada AS$955.01 (RM3,959.76) seauns, menyentuh tahap terendah sejak November 2020.
Paladium mencapai tahap terendah sejak Ogos 2020, tetapi pulih untuk didagangkan pada AS$2,145.03 (RM8,893.94).
Perak tidak berubah pada AS$23.72 (RM98.35). – AGENSI










