BEIJING: Harga aluminium terus meningkat ke paras tertinggi sejak 2008 berikutan kebimbangan bekalan di China dan Guinea.
Aluminium naik sebanyak 1.6 peratus kepada AS$2,837.50 (RM11,771.37) tan metrik di London Metal Exchange, tertinggi sejak 2008, sebelum didagangkan pada AS$2,829 (RM11,736.11) tengah hari semalam di Shanghai.
Harga logam dilaporkan turut meningkat 2.1 peratus ke paras tertinggi sejak 2006.
Menurut laporan, harga aluminium hampir meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu ketika perniagaan di seluruh dunia dibuka semula selepas penutupan akibat pandemik, selain permintaan pengguna dan aktiviti ekonomi meningkat semula.
Goldman Sachs Group Inc., Citigroup Inc. dan Trafigura Group adalah antara kumpulan yang meramalkan kenaikan harga lebih tinggi logam itu pada masa hadapan. Ini kerana, industri dilaporkan bersiap sedia untuk perubahan seismik yang berpotensi menjadikan defisit lebih mendalam.
Menurut laporan, rampasan kuasa di negara Afrika, Guinea, yang membekalkan hampir satu pertiga daripada bekalan bauksit dunia, telah meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gangguan bekalan aluminium di peringkat global.
Kebimbangan terus berlaku meskipun pemimpin baharu Guinea menggesa syarikat perlombongan untuk terus beroperasi dan memberi jaminan bahawa perjanjian sedia ada mereka dengan kerajaan, akan dihormati.
Selain itu, kebimbangan terhadap bekalan bauksit muncul di tengah-tengah kekangan bekalan aluminium di China didorong oleh kempen penjimatan tenaga dan menghentikan pencemaran daripada industri berintensifkan tenaga.
Bagaimanapun, matlamat penjagaan alam sekitar itu timbul setelah China merekodkan lonjakan inflasi ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun, menunjukkan perlunya usaha bagi mengekang kenaikan harga bahan mentah itu.
“Dengan rantaian bekalan yang terhad dan mungkin ia (gangguan) berlaku, risiko tambahan terhadap bekalan benar-benar menakutkan pasaran. Masalah sekarang adalah berkaitan bekalan,” kata ketua komoditi di S&P Dow Jones Indices, Fiona Boal, dalam wawancara dengan Bloomberg TV. – AGENSI










