ISKANDAR PUTERI: Penggemar Original Legendary Burger di Hard Rock Cafe pastinya boleh memasukkan senarai percutian mereka ke dalam kalendar peribadi masing-masing sekiranya dibenarkan merentas negeri kelak apabila kafe tersebut melebarkan sayap ke cawangan terbaru.
Bertempat di Puteri Harbour, di sini, kafe seluas 557 meter persegi dengan kapasiti 238 orang tetamu di ruang makan luar dan dua tingkat di bahagian dalam kafe akan dibuka secara rasmi pada Disember ini.
Menurut Pengurus Besarnya, Jimmy Wong, restoran dan bar kontemporari itu adalah yang pertama seumpamanya kerana ia mempunyai gaya reka bentuk dalaman moden serta menampilkan susunan berkelas tinggi, mewah dan tersusun rapi dengan tempat-tempat menarik untuk peminat.
“ Ruang makan utama dan ruang makan peribadi di tingkat atas boleh memuatkan seramai
100 orang tetamu. Para tetamu juga boleh menikmati hiburan musik secara langsung dari ruang makan dalaman yang terletak di aras bawah.
“Konsep ruang makan ‘Alfresco’ yang menghadap ke pelabuhan yang menawan disertai dengan pemandangan matahari terbenam yang indah merupakan keistimewaan kafe keempat selepas Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya pada sidang akhbar secara maya di sini, semalam.
Jimmy berkata, tetamu juga boleh berjalan di sepanjang ruangan dinding memorabilia yang seperti biasa memaparkan rangkaian memorabilia daripada pemuzik legenda dari seluruh dunia.
Malah, ujarnya, Hard Rock Cafe Puteri Harbour akan menyajikan pelbagai pilihan rasa asli dari bahan-bahan berkualiti tinggi dan segar seperti Original Legendary Burger’, siri ‘Signature Steak Burgers’, ‘Specialty Entrée’, ‘Bar Bites’ dan pelbagai pilihan salad, sandwic serta pencuci mulut.
“Kami juga menawarkan pelbagai jenis minuman bebas alkohol selain Rock Shop yang akan menawarkan pengalaman berbelanja seperti bintang rock bagi pengumpul dan peminat untuk
membawa pulang barang jualan seperti baju, topi, pin dan pelbagai koleksi lain.
“Kami mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang terdiri daripada penduduk tempatan mahupun pelancong dalam memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan berharap ianya dapat memberi galakan dan semangat dalam kehidupan seharian mereka yang sibuk,” katanya. – UTUSAN










