FDI separuh pertama negara melonjak 223.1 peratus - Utusan Malaysia

FDI separuh pertama negara melonjak 223.1 peratus

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan langsung asing (FDI) negara melonjak 223.1 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pencapaian luar biasa itu membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan negara selain persekitaran ekonomi dan perniagaan yang kondusif.

“Pencapaian membanggakan ini juga mencerminkan keberkesanan strategi Malaysia bagi memastikan negara kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab rantaian bekalan untuk rantau ASEAN, terutama sektor pengeluaran yang menunjukkan keputusan positif.

“FDI mendorong prestasi kukuh sektor perkilangan dalam tempoh tersebut dengan menca­tat pelaburan yang diluluskan sebanyak RM58.2 bilion, manakala RM8.7 bilion lagi daripada sumber domestik,” katanya dalam kenya­taan.

Menurut Mohamed Azmin, negara mencatat RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan primer, melonjak 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar, beliau memaklumkan Malaysia terus mencatat pertumbuhan luar biasa, sekali gus bakal menyaksikan rantaian pelaburan sedemikian, dengan membabitkan 2,110 projek berupaya menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

“Memanfaatkan kemajuan positif menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan situasi kesihatan awam dan pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan teknologi dan bernilai tinggi.

“Ia disokong kemampuan negara dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan kesediaan penerapan teknologi maju untuk industri nilai tambah,” ujarnya.

Mohamed Azmin menjelaskan, sebanyak 367 projek dalam sektor pengeluaran bernilai RM66.9 bilion yang diluluskan pada separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan dan peranan.

Ujarnya, ia merangkumi 1,367 jawatan di peringkat pengurusan dan 4,031 tenaga teknikal profesional seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal, kimia dan lain-lain.

“Projek pengeluaran yang diluluskan juga memerlukan 4,144 buruh mahir. Pelaburan domestik terutama dalam sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Antara projek terkenal yang diluluskan dalam tempoh itu adalah SK Nexilis dari Korea Selatan untuk membina kilang pengeluaran kerajang tembaga, selain Risen Energy dan OCIM.

“Rangkaian projek ini bukan sekadar mampu memacu ekosistem industri di Malaysia, tetapi meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi dan memberi manfaat kepada peniaga tempatan dalam segenap nilai rantaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN