Emas merosot, dolar kukuh - Utusan Malaysia

Emas merosot, dolar kukuh

Harga emas turun dipacu dolar yang lebih kukuh dan kenaikan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS). – AGENSI/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Harga emas merosot semalam, ketika dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh setelah Rizab Persekutuan negara itu memberi bayangan akan menarik pembelian asetnya pada tahun hadapan dan jangkaan lebih awal kenaikan kadar faedah.

Jualan emas semasa turun 0.2 peratus kepada AS$ 1,764.06 (RM7,383.47) seaun, sementara niaga hadapan emas AS merosot 0.9 peratus kepada AS$ 1,763.50 (RM7,381.13) seaun.

Hasil daripada pertemuan dua hari mengenai dasar Rizab Persekutuan menunjukkan bahawa separuh daripada pegawai bersedia menaikkan kadar faedah tahun hadapan sebagai tindak balas terhadap kenaikan inflasi.

Emas sering dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang lebih tinggi, tetapi kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan akan meningkatkan kos untuk pegangan emas, yang tidak dikenakan sebarang faedah.

Ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell dilaporkan berkata, proses penarikan pembelian bon bulanan boleh dimulakan setelah mesyuarat dasar bank pusat pada November selagi sektor pekerjaan AS pada September, merekodkan pertumbuhan yang agak kukuh.

“Semua orang akan memberi tumpuan kepada sejauh mana tekanan inflasi dan apakah Rizab Persekutuan perlu terburu-buru menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas?.

“Apabila kita mula bercakap tentang kenaikan kadar faedah, ia sebenarnya tidak baik untuk harga emas,” kata Penganalisis IG Market, Kyle Rodda.

Indeks dolar mencapai paras tertinggi untuk tempoh sebulan, sekali gus mengurangkan daya tarikan emas bagi mereka yang memegang mata wang lain.

Dari segi teknikal, harga emas semasa mungkin kembali ke paras terendahnya pada 20 September lalu iaitu AS$1,741.86 (RM7,290.56, kerana penurunan kelmarin mengesahkan kemungkinan itu, menurut Penganalisis Teknikal Reuters, Wang Tao.

Sementara itu, perak turut jatuh sebanyak 0.3 peratus kepada AS$22.60 (RM94.59) seaun.

Harga paladium pula stabil pada AS$2,023.37 (RM8,468.82), selepas mencatatkan kenaikan 6.2 peratus kelmarin, kenaikan sehari terbesar sejak Mac 2020. Manakala platinum susut 0.2 peratus kepada AS$994.84 (RM4,163.90). – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN