PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), menerusi cabang Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR), ILTIZAM, telah melancarkan ILTIZAM EMP Ihsan dengan komitmen berjumlah RM10 juta.
Di bawah teras Keusahawanan ILTIZAM, yang dikenali sebagai Program Mentor Keusahawanan, ILTIZAM EMP berhasrat untuk membantu perniagaan mikro dan kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ekuinas akan tampil memberi bantuan kepada perniagaan yang terjejas melalui kerjasama dengan semua entiti pengurusan zakat di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, kriteria kelayakan tertentu yang ditetapkan adalah seperti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), majlis perbandaran atau ketua komuniti dan dimiliki oleh usahawan daripada golongan B40.
“Entiti-entiti yang terbabit akan menyalurkan dana kepada penerima melalui tiga fasa, bermula dengan pengagihan keseluruhan sebanyak RM3 juta bagi Fasa 1 kepada tiga entiti iaitu Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) bagi negeri Selangor, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Zakat Pulau Pinang.
“Kami berharap sokongan kewangan yang kami tawarkan dapat membantu pemilik-pemilik perniagaan mengatasi kekangan perniagaan untuk membolehkan peniaga-peniaga bangkit semula apabila keadaan bertambah baik,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran ILTIZAM EMP yang diadakan secara maya, semalam.
Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Pengerusi dan Jawatankuasa CSR Ekuinas, Tan Sri Dr. Rahamat Bivi Yusoff.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Operasi Majlis Agama Islam Selangor, Nurhani Salwa Jamaluddin; Pengerusi TERAS, Datuk Ibrahim Md. Yusof; Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali serta wakil-wakil entiti dari Kelantan, Perak, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut, Syed Yasir memberitahu, sepanjang pelaksanaan ILTIZAM EMP Ihsan dalam tempoh lapan bulan akan datang, Ekuinas akan memberikan bantuan kewangan sekali gus sebanyak RM2,000 kepada setiap perniagaan sebagai modal kerja, modal untuk menceburi bidang baharu, dan untuk perbelanjaan operasi seperti sewa, gaji serta utiliti.
Pihaknya turut menggariskan rangka kerja tadbir urus untuk pelaksanaan program itu seperti yang dipersetujui dengan entiti-entiti pengurusan zakat, demi keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan dana, semakan bulanan, dengan pemantauan status perniagaan tersebut akan dipantau secara berperingkat.
“Secara asasnya, komitmen kami adalah kepada masyarakat dan komuniti, dan kami akan terus memanfaatkan sepenuhnya usaha kami menerusi ILTIZAM dengan menyediakan bantuan untuk mendorong dan mewujudkan kesan limpahan positif kepada masyarakat terbabit, yang menjadi pemangkin bagi ekosistem perniagaan tempatan kembali berkembang maju.
“Kami yakin usaha dan inisiatif untuk membina semula ekonomi bukan sahaja patut dipikul oleh kerajaan, dan kami menggalakkan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam pemulihan negara,” jelasnya.
ILTIZAM EMP Ihsan adalah program yang ditubuhkan di bawah teras Keusahawanan ILTIZAM bersama dua program sedia ada iaitu EMP Direct dan EMP Collaboration. Program itu bertujuan membina kemahiran dan membantu perniagaan mikro dan kecil bumiputera di seluruh negara untuk meningkatkan potensi dan mengukuhkan daya tahan perniagaan. – UTUSAN










