Eksport Indonesia capai rekod tertinggi - Utusan Malaysia

Eksport Indonesia capai rekod tertinggi

INDONESIA terus merekodkan lebihan dagangan pada Ogos lalu. Bagaimanapun, penularan kes baharu Covid-19 boleh menggugat proses pemulihan ekonomi negara berkenaan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Eksport Indonesia pada Ogos mencapai rekod ter­tinggi berjumlah AS$21.42 bilion (RM89.04 bilion), didorong oleh lonjakan eksport komoditi.

Pencapaian tersebut membantu negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mencatat lebihan dagangan bulanan terbesar, menurut data rasmi dikeluarkan kerajaan.

Lebihan dagangan pada Ogos sebanyak AS$4.74 bilion (RM18.58 bilion), berbanding jangkaan penganalisis ekonomi sebanyak AS$2.36 bilion (RM9.81 bilion).

Pada Julai, Indonesia merekodkan lebihan dagangan sebanyak AS$2.59 bilion (RM10.77 bilion).

Menurut laporan, eksport yang tinggi membantu Indonesia keluar daripada kemelesetan pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi berkata, pemulihan ekonomi mungkin diperlahankan oleh jangkitan Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik semalam, eksport Indonesia-negara yang kaya dengan sumber, meningkat 64.1 peratus daripada tahun lalu, mengatasi ramalan penganalisis yang dibuat oleh Reuters, iaitu kenaikan sebanyak 36.9 peratus.

Jualan minyak sawit, arang batu dan gas asli iaitu antara komoditi utama Indonesia, me­lonjak lebih 100 peratus. Eksport tembaga, timah dan keluli turut melonjak.

Nilai eksport pada Ogos melepasi paras tertinggi pada Ogos 2011 iaitu sebanyak AS$18.65 bi­lion (RM77.53 bilion), yang turut dipacu oleh ledakan permintaan komoditi di pasaran global.

Harga komoditi meningkat apabila lebih banyak ekonomi dibuka semula selepas ditutup akibat Covid-19 tahun lalu, menurut laporan.

Harga arang batu dan minyak sawit mencapai paras tertinggi setelah permintaan melebihi penawaran, sementara harga timah juga melonjak disebabkan oleh kekurangan bekalan.
Berdasarkan trend, Indonesia mencatatkan lebihan dagangan setiap bulan sejak Mei 2020. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN