BENGALURU: Harga emas mengukuh dipacu dolar Amerika Syarikat yang lebih lemah dan prospek Rizab Persekutuan AS (Fed) menunda pengurangan dalam pembelian bon era pandemik.
Emas jongkong meningkat 0.2 peratus kepada AS$1,826.75 (RM7,574.62) seauns manakala niaga hadapan emas AS turun 0.3 peratus kepada AS$1,828 (RM7,579.80).
Harga telah mencapai paras tertinggi dalam dua bulan terdahulu berikutan kekecewaan data gaji bukan ladang (NFP) negara itu. Pemulihan pekerjaan yang kuat sangat penting bagi bank pusat memulakan langkah rangsangannya.
Sebilangan pelabur memandang emas sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang mungkin mengikuti langkah-langkah rangsangan, sementara kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos peluang menyimpan `bulion’ yang tidak membuahkan hasil.
Indeks dolar turun sekitar 0.1 peratus, meningkatkan daya tarikan emas bagi pemegang mata wang lain.
Dengan ekonomi zon Eropah yang kembali meningkat, Bank Pusat Eropah akan membahaskan penurunan rangsangannya pada Khamis, memulakan perbincangan yang serius dan panjang mengenai langkah-langkah memerangi krisis yang boleh membuatkan blok ekonomi itu terus bertahan.
Di Jepun, perbelanjaan isi rumah meningkat tidak seperti yang diharapkan pada Julai, ketika kebangkitan semula kes Covid-19 menghalang aktiviti pengguna dan menimbulkan keraguan prospek pemulihan ekonomi.
Import emas India pada Ogos hampir dua kali ganda daripada tahun sebelumnya, dipacu permintaan yang tinggi dan harga lebih rendah mendorong peningkatan pembelian untuk musim perayaan. – AGENSI








