Desaru Coast perkukuh langkah keselamatan dan kesihatan - Utusan Malaysia

Desaru Coast perkukuh langkah keselamatan dan kesihatan

DESARU Coast memperkukuh langkah kesihatan dan keselamatan kepada tetamu yang akan bercuti di destinasi percutian seluas 4,000 ekar di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pembukaan semula sektor pelancongan domestik te­ruta­ma di Pulau Langkawi bermula 16 September ini memberi suntikan semangat kepada destinasi pelancongan utama lain untuk bersedia menerima kunjungan orang ramai sebaik dibenarkan.

Tidak ketinggalan destinasi yang diiktiraf sebagai salah satu Destinasi Terhebat di Dunia 2021 oleh TIME Magazine baru-baru ini, Desaru Coast Destination Resort (Desaru Coast) yang turut melakukan beberapa langkah persediaan serta menawarkan pakej istimewa kepada pengunjung.

Menurut Ketua Jualan dan Pemasaran di Desaru Coast, Hoe Teck Wei, Desaru Coast mengutamakan langkah berjaga-jaga dengan penetapan protokol kesihatan dan keselamatan yang melebihi piawaian untuk seluruh destinasi percutiannya.

Katanya, program Stay Well @ Desaru Coast mengutamakan langkah-langkah sanitasi, keselamatan yang melangkaui dasar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti menjalankan saringan suhu dan kesihatan serta taklimat dan latihan berkala untuk semua pekerja.

“Destinasi ini bersedia sepenuhnya ke arah pembukaan semula dengan hampir 100 peratus kakitangan hotel dan resort telah diberi vaksin sepenuhnya. Segelintir kakitangan yang belum diberi vaksin pula akan diuji setiap minggu sebelum dianggap layak untuk bertugas.

“Pada masa sama, sambil kami mahu tetamu kami menikmati destinasi percutian yang sebenar, kami juga ingin memastikan bahawa mereka boleh menempah pakej percutian dengan yakin, bebas dari kebimbangan dan selamat untuk bersantai di Desaru Coast,” katanya dalam kenyataan.

Pada 7 September lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri berharap tiga kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini dipertimbang untuk dilaksanakan gelembung pelancongan iaitu Muar, Mer­sing dan Desaru Coast.

Sementara itu, Teck Wei berkata, bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di destinasi itu, Desaru Coast turut memperkenal kempen Change Your View atau Mengalih Pandangan Anda dengan pakej penginapan yang menyeronokkan serta tawaran istimewa yang tersedia untuk dinikmati.

“Tawaran ini termasuk Sand-sational Deals dan Golf Passport yang popular di destinasi ini yang mana kedua-dua tawaran ini termasuk aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang khas untuk kepuasan percutian.

“Sebagai sebahagian daripada panggilan kepada semua pelancong di Malaysia untuk Mengalih Pandangan Anda, 500 pakej pertama yang ditempah antara 10 hingga 17 September ini akan menikmati pengurangan RM100 daripada harga pakej sementara stok masih ada,” katanya.

Ujarnya, bermula dari RM699, setiap pakej Sand-sational dilengkapi dengan pengalaman Desaru Coast bermula dari sebuah penginapan hotel mewah ke golf, makan dan tiket berseronok di taman tema air.

Bagi pakej Golf Passport, harga RM899 melalui tempahan awal menawarkan tiga pusingan golf 18 lubang di Els Club serta baucar perbelanjaan makan dan hotel. Semua pakej tersebut ditawarkan dengan dasar perubahan tarikh yang fleksibel dan tempoh penggunaan sah dilanjutkan sehingga Jun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN