CTOS eKYC: Skynfyx jangka peningkatan pelanggan 50 peratus - Utusan Malaysia

CTOS eKYC: Skynfyx jangka peningkatan pelanggan 50 peratus

CTOS menyediakan laporan kredit untuk kemudahan para pelanggannya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan perundingan perubatan dalam talian, Skynfyx menjangkakan peningkatan pelanggan sebanyak 50 peratus dengan menggunakan CTOS eKYC bagi pengurusan pesakit.

Pengasas Skynfyx, Dr. Lim Ing Kien berkata, pengalaman perubatan dalam talian termasuk di bawah Akta Teleperubatan 1997.

Beliau berkata, akta itu menyebut bahawa sesiapa yang berbuat demikian dikehendaki menyimpan rekod perubatan yang sempurna termasuk nama pesakit, identiti, alamat dan nombor huungan.

“CTOS eKYC akan dapat mengesan sebarang keabnormalan pada mana-mana bakal pesakit baharu dan juga akan membuahkan proses yang lebih pantas serta lebih cekap bagi para pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

CTOS eKYC merupakan sistem penentusahan identiti digital yang cepat, mudah guna dan terjamin selamat disediakan oleh agensi pelaporan kredit, CTOS Data Systems Sdn. Bhd. yang menolong perniagaan menentusahkan pelanggan secara digital.

Kaedah itu mengetepikan keperluan penentusahan identiti pelanggan secara manual dan bersemuka. Ia menyingkatkan masa penerimaan kepada beberapa saat sahaja, dan memastikan preskripsi yang betul dihantar kepada pesakit yang betul.

Dr. Lim berkata, ketika ini penentusahan manual mengambil masa 60 saat dan CTOS eKYC akan mengurangkan lagi masa itu kepada kurang lima saat.

“Ini bermakna pengurangan 90 peratus masa penentusahan pesakit. Pihak kami menjangka CTOS eKYC dapat membantu kami menambahkan bilangan pelanggan sebanyak 50 peratus menjelang akhir 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data System, Eric Chin berkata, CTOS eKYC diterimaguna dalam lebih banyak sektor termasuk pasaran kenderaan dan hartanah, selain perkhidmatan kewangan tradisional, lantaran meningkatnya keyakinan terhadap ciri-ciri serba boleh dan keupayaan kaedah itu.

“Ketika kita sekarang melangkah masuk dalam industri perubatan dengan Skynfyx, kita dapat melihat nilai terbukti yang dibawa oleh CTOS eKYC untuk mempermudah transformasi digital merentasi jajaran pasaran yang lebih meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN