AKHIR-AKHIR ini beberapa kumpulan perniagaan dan pihak tertentu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri giat melobi pimpinan kerajaan agar Malaysia segera meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Walaupun disebut sebagai perjanjian perdagangan, hanya enam daripada 30 bab dalam teks perjanjian adalah berkenaan perdagangan konvensional barangan manakala 24 bab lagi mengandungi peraturan dan syarat berkenaan hal bukan perdagangan seperti harta intelek, pelaburan, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, e-dagang, perkhidmatan, alam sekitar dan buruh.
Perjanjian ini akan memberi kesan yang mendalam kepada sosioekonomi dan sosiobudaya Malaysia serta akan menghalang Malaysia daripada memperkenalkan polisi-polisi baharu yang baik jika ia bercanggah dengan teks CPTPP.
Dalam konteks pertanian, penternakan dan perikanan, risikonya cukup besar memandangkan Malaysia bukanlah sebuah negara pengeksport utama agromakanan melainkan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit.
Penghapusan subsidi
Walaupun CPTPP tidak mewajibkan negara anggota menghapuskan keseluruhan subsidi domestik dalam industri pertanian, ia mewajibkan penghapusan segala bentuk subsidi eksport produk-produk pertanian. Ini bermakna, program-program bantuan kerajaan kepada petani untuk mengeksport produk pertanian ke negara-negara anggota CPTPP tidak akan dapat dilaksanakan.
Dalam bab alam sekitar, teks CPTPP melarang subsidi diberikan kepada tangkapan spesies ikan tertentu. Walaupun larangan ini bertujuan melindungi jumlah spesies ikan tertentu yang semakin berkurangan kerana tangkapan berlebihan, perlu difahami bahawa punca kekurangan jumlah ikan disebabkan bot-bot nelayan besar dan asing yang menggunakan alat tangkapan yang menangkap ikan-ikan yang masih kecil dan memusnahkan habitat ikan seperti pukat tunda, rawa sorong, bubu naga dan bom. Larangan ini tidak praktikal malah bersifat tidak adil kepada nelayan pantai.
Pasaran tempatan terjejas
Pembangunan sektor pertanian seharusnya tidak hanya menumpukan kuantiti hasil pertanian tetapi juga mesti menjamin pendapatan yang tinggi kepada petani, penternak dan nelayan. Namun, jika Malaysia meratifikasi CPTPP, kita wajib menghapuskan 100 peratus tarif pada barangan import termasuk produk pertanian (dengan beberapa tempoh peralihan dan kuota kadar tarif untuk ayam dan telur).
Maka, Malaysia akan menghadapi peningkatan import produk pertanian daripada negara anggota CPTPP. Tarif import merupakan salah satu bentuk perlindungan kepada petani, penternak dan nelayan tempatan selain menjadi sumber pendapatan negara.
Selain tarif, kawalan import bukan tarif seperti kuota dan permit juga perlu dihapuskan bertujuan untuk memudahkan kemasukan produk asing daripada negara-negara anggota CPTPP. Tanpa tarif dan kawalan import, petani, penternak dan nelayan Malaysia berkemungkinan besar tidak akan dapat bersaing dengan import produk pertanian dan makanan yang lebih murah dari negara-negara CPTPP lain.
Akibatnya, rakyat kita kehilangan pendapatan dan akan ada pengurangan pengeluaran makanan Malaysia. Apabila Malaysia bergantung kepada import makanan, jaminan bekalan makanan negara akan terancam seperti yang kita lihat dalam situasi pandemik Covid-19 ketika beberapa negara menyekat eksport makanan. Malaysia pada ketika ini adalah negara pengimport makanan utama.
*Penulis merupakan seorang penyelidik, aktivis sosial dan koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM). Beliau boleh dihubungi melalui [email protected].