CPTPP ibarat ‘menjual negara’? - Utusan Malaysia

CPTPP ibarat ‘menjual negara’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan semua perniagaan akan menikmati manfaat yang dicanangkan oleh pihak yang menyokong untuk menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, perjanjian tersebut mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan kepada ekonomi tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dengan sektor perkhidmatan dan selain eksport.

Tegas beliau, CPTPP turut memaksa Malaysia mengubah undang-undang untuk mengikut telunjuk perjanjian perdagangan bebas itu yang turut memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara termasuk perolehan kerajaan selain mengecilkan ruang campur tangan kerajaan bagi membantu industri memerlukan.

“MTEM menzahirkan kerisauan dan menyatakan CPTPP ibarat menjual dan memperdagangkan negara sendiri kerana kita terpengaruh dengan janji-janji indah tanpa apa-apa bukti jelas ia akan menguntungkan negara.

“Tidak ada kajian yang menggambarkan negara akan berjaya meningkatkan kadar eksport dan memberi keuntungan kepada ekonomi serta isi rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Abdul Halim, lambakan import barangan murah disebabkan CPTPP kelak akan merosakkan peluang PMKS untuk bangkit dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengguna semata-mata.

Kata beliau, segala kebaikan CPTPP boleh dicapai dengan perjanjian perdagangan bebas antara dua negara dan perlu terhad kepada barangan sahaja.

“Tidak pernah dalam sejarah perjanjian perdagangan yang merangkumi terlampau banyak perkara yang didagangkan. Kali terakhir kita pernah dengar ialah perjanjian Syarikat Hindia Timur yang akhirnya menjadikan seluruh Asia Tenggara dan India, termasuk apa yang kita kenali sebagai Malaysia, menjadi sebahagian empayar British selama ratusan tahun.

“Malah, Malaysia telah pun menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan semua negara CPTPP kecuali Mexico, Kanada dan Peru yang mana pasaran eksport kita tidak signifikan. Eksport kita ke negara berkenaan kurang satu peratus.

“Menggunakan metodologi kiraan Bank Dunia, sekiranya CPTPP dilaksanakan, imbangan dagangan dijangka bertambah teruk sebanyak AS$2.4 bilion (RM10.05 bilion) setahun,” katanya.

Awal bulan lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Malaysia kini dalam landasan untuk meratifikasi CPTPP dengan jangkaan mendapat arahan Kabinet mengenai hala tuju dalam perjanjian tersebut menjelang penghujung tahun ini.

Gergasi ekonomi Asia, China turut mengesahkan telah memohon untuk menyertai CPTPP, selain United Kingdom yang telah memohon lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN