PETALING JAYA: Krisis pemaju hartanah China, Evergrande Group telah mempengaruhi sentimen keseluruhan pasaran ekuiti Asia, tetapi kesannya terhadap pasaran saham Malaysia dijangka adalah terhad.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kumpulan tersebut sedang menghadapi krisis keupayaan membayar hutang, di mana hutang bersihnya berjumlah sekitar RM314 bilion.
“Limpahan krisis dan kesan kepada Bursa Malaysia dijangka ada, namun agak minimal. Bagaimanapun, kesan itu boleh menjadi lebih teruk sekiranya Evergrande dibenarkan untuk tidak mematuhi perjanjian hutang mereka dan tidak membayar mengikut terma dan masa yang ditentukan.
“Ringgit juga dijangka tidak akan mengalami masalah berhubung kes Evergrande itu. Walaupun ringgit kini memang agak lemah, tetapi dengan kestabilan politik yang baharu serta pembukaan lebih banyak sektor ekonomi seperti sektor eksport dan sektor pelancongan dijangka akan memacu kembali pengukuhan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelas beliau, kelembapan pasaran hartanah secara umumnya dijangka memberi kesan langsung kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang mempunyai pelaburan hartanah di China seperti Sunway Berhad dan IOI Properties Group Bhd. yang masing-masing mempunyai projek di Tianjin dan Xiamen.
Namun, ujarnya, nisbah projek-projek itu kepada keseluruhan perniagaan adalah agak kecil iaitu di bawah lima peratus dan dijangka tidak akan memberi kesan yang besar.
Bursa Malaysia semalam ditutup 2.55 mata lebih tinggi berbanding kelmarin kepada 1,530.44 mata dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 538 berbanding 436.
Sementara itu, AmInvestment Bank menjangkakan krisis Evergrande tidak memberi kesan kepada bank-bank di Malaysia kerana mereka lebih memberi tumpuan kepada pasaran Singapura, Indonesia dan Thailand.
Jelasnya, China bukanlah kunci utama pasaran bagi bank-bank di rantau ini dan pihaknya tidak melihat risiko kepada bank-bank Malaysia daripada krisis berkenaan.
Mengulas mengenai IOI Properties Group dan Sunway, rma itu berkata, baki nilai pembangunan kasar (GDV) syarikat-syarikat terbabit masing-masing hanya pada 3 peratus dan 1 peratus, daripada jumlah portfolio kumpulan mereka.
Bagaimanapun jelasnya, dalam jangka pendek, penjualan hartanah di China mungkin akan perlahan kerana sentimen pembeli yang lemah.
AmInvestment Bank percaya, Beijing akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah Evergrande bagi memberikan kestabilan buat rakyatnya.
Menurut bank pelaburan itu, semalam, harga saham Evergrande telah jatuh 10 peratus kepada kira-kira AS$0.29 (RM1.23), tahap terendah dalam lebih 11 tahun, ekoran kebimbangan syarikat itu yang mungkin tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk membayar pinjaman jangka pendeknya.
“Pada 30 Jun 2021, Evergrande mempunyai hutang jangka pendek sebanyak 240 bilion yuan (RM155.50 bilion) dan hutang jangka panjang sebanyak 332 bilion yuan (RM215.11 bilion). Dengan aliran tunai 87 bilion yuan(RM56.37 bilion) (tidak termasuk tunai terhad), kumpulan itu mempunyai hutang bersih sebanyak 485 bilion yuan (RM314.24 bilion),” katanya. – UTUSAN










