PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) berjaya mencatatkan tempahan 95 peratus untuk projek Bayu Sutera fasa pertama dalam tempoh dua minggu sahaja sejak pelancarannya, baru-baru ini.
Bayu Sutera adalah projek perumahan terbaharu oleh Matrix Concepts di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan seluas 216 ekar.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion itu menawarkan rumah-rumah teres dua tingkat pegangan bebas di sembilan presint dengan jumlah keseluruhan 2,043 unit.

Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, semasa pelancaran Bayu Sutera, terdapat banyak tentangan dari luar.
“Walau bagaimanapun, kami di Matrix Concepts mempercayai produk kami sepenuhnya. Kami menetapkan strategi mantap dan hasilnya terbukti kini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kok Yee, kempen yang dijalankan agak sederhana dengan memberi fokus kepada aspek penciptaan nilai berdasarkan kualiti, reka bentuk moden dan fungsi serta pembangunan bandar lestari.
“Rumah Celyn @ Bayu Sutera berharga dari RM529,000 ke atas dan berdasarkan data, 61 peratus pembeli berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor. Sementara 26 peratus lagi adalah penduduk Negeri Sembilan, selebihnya dari negeri lain.
“Ini bererti permintaan rumah-rumah kami masih tinggi walaupun pasaran hartanah secara keseluruhan masih lembab,” katanya.
Katanya, oleh kerana kadar tempahan Bayu Sutera fasa pertama amat memberangsangkan, Matrix Concepts akan melancarkan fasa seterusnya tidak lama lagi. – UTUSAN










