PETALING JAYA: British American Tobacco (BAT) (Malaysia) telah memperkenalkan strategi kemampanannya sebagai sebahagian daripada usaha membina Masa Depan Lebih Baik (A Better Tomorrow).
Pengarah Undang-Undang dan Hal Ehwal Luarnya, Nick Booth berkata, dengan matlamat korporat syarikat yang baharu, pihaknya beralih daripada perniagaan yang menekankan kemampanan kepada syarikat yang menjadikan kemampanan tumpuan segala apa yang dilakukan.
“Kami akan berusaha membina masa depan yang lebih baik menerusi strategi yang mengurangkan kesan kesihatan perniagaan kami dan pada masa yang sama mengutamakan kecemerlangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Bersama-sama, kami percaya ia akan memacu kemampanan jangka panjang perniagaan syarikat dan mencipta nilai bersama bagi pengguna, masyarakat, kakitangan dan pemegang saham kami,” katanya dalam taklimat media yang diadakan secara maya semalam.
Ujarnya, pihaknya juga menetapkan matlamat jelas untuk melaksanakan strategi tersebut.
Kumpulan itu bercita-cita menjadi syarikat produk dan perkhidmatan pengguna yang terkemuka dari segi penarafan ESG FTSE4Good Bursa Malaysia dan terbaik dalam kelasnya di dalam Kumpulan BAT dan juga diiktiraf kerana inisiatif kemampanan di dalam negara dan peringkat antarabangsa.
Strategi kemampanan BAT Malaysia terdiri daripada empat tunggak utama iaitu pengurangan mudarat, alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Bagi mencapai pengurangan mudarat, BAT Malaysia akan mengurangkan kesan kesihatan perniagaan dan menawarkan produk-produk kurang mudarat kepada pengguna.
Syarikat akan menyokong usaha mewujudkan undang-undang yang sesuai untuk produk pengurangan mudarat tembakau seperti vape bernikotin.
BAT Malaysia juga akan mencapai kecemerlangan dalam pengurusan alam sekitar dengan mempertingkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan berusaha mencapai emisi karbon neutral dalam operasi.
Itu termasuk penggunaan tenaga solar di kilangnya di Johor Bahru, gudang dan pejabat pengedaran di seluruh negara dan penggunaan kenderaan hybrid.
Di samping itu, kumpulan akan berusaha untuk pengurangan sisa dan penghapusan plastik sekali guna.
Bagi mencipta kesan sosial positif, syarikat akan berusaha mewujudkan persekitaran yang saksama. Itu termasuk usaha untuk memastikan hak sama rata wanita dan kewarganegaraan dalam pengurusan dan kepimpinan syarikat.
BAT Malaysia juga akan menilai semula program pelaburan masyarakat mampannya bagi memperkasakan masyarakat tempatan untuk menikmati Kemakmuran Bersama.
Akhir sekali, bagi melaksanakan tadbir urus korporat yang mantap, BAT Malaysia akan memastikan ia mencapai objektif perniagaannya secara bertanggungjawab sesuai dengan standard integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi bagi memastikan pematuhan undang-undang, amalan terbaik tadbir urus dan dasar polisi negara.
Kumpulan juga telah selaraskan strateginya dengan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu dan elemen utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, BAT Malaysia juga menanda aras syarikat dengan penarafan FTSE4Good Bursa Malaysia ESG. – UTUSAN










