Bantu yang masih terjejas aliran tunai supaya kembali pulih
PETALING JAYA: Kerajaan digesa memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperbaiki aliran tunai sebelum menetapkan sebarang strategi kutipan hasil cukai dalam Bajet 2022 yang bakal dibentangkan nanti.
Ini kerana PKS, masih lagi terkesan walaupun beberapa sektor ekonomi telah dibuka semula dan antara cabaran utama pemain PKS adalah kekurangan aliran tunai berikutan lebih setahun tidak mempunyai pendapatan yang konsisten.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng, banyak pembekal tidak lagi memberi tempoh kredit dan ini bermakna, ramai PKS yang mahu membuka semula perniagaan mereka tidak dapat berbuat demikian kerana kekurangan stok, bahan mentah dan pekerja.
Justeru, beliau mencadangkan kadar cukai korporat bagi pendapatan bercukai RM500,000 pertama untuk tahun taksiran 2021 dan 2022 dikurangkan kepada 15 peratus.
“Ini akan mendorong pelaburan semula dan keusahawanan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PKS yang telah menggulung tikar kerana pandemik ini.
“Bagi membantu PKS dengan aliran tunai, kami harus dapat pengecualian bayaran levi HRD Corp. sehingga akhir tahun ini dan pengurangan bayaran kepada 0.5 peratus untuk tahun 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Menurut William, pada akhir 2019, HRDF mempunyai baki levi sebanyak RM1.35 bilion.
“Jadi, pihak berwajib mampu mengecualikan PKS daripada pembayaran tersebut tanpa menjejaskan mandat untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Apabila perniagaan pulih, latihan dan peningkatan kemahiran akan berlaku secara organik.
“Kami turut merayu supaya Kabinet baharu menghentikan semua operasi audit cukai untuk semua kes-kes yang disyaki sebelum 2019 hingga 2023. Biarlah PKS kembali pulih sebelum siasatan dan kutipan diteruskan,” jelasnya.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang antara lain menekankan strategi pemantapan sistem percukaian menerusi sebuah kajian semula yang menyeluruh ke atas rangka kerja insentif cukai serta strategi meningkatkan hasil percukaian negara.
Langkah ini bagi memastikan insentif cukai yang ditawarkan kepada pelabur asing dan tempatan kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan di samping terus mengekalkan daya kompetitif negara dalam menarik pelaburan berkualiti seterusnya memberi pulangan positif kepada ekonomi dan kedudukan fiskal negara.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berpendapat, dua cukai baharu iaitu pewarisan harta dan cukai durian runtuh perlu segera diwujudkan dalam Tahun Taksiran 2021.
Ujarnya, kedua-dua jenis cukai ini dikira sebagai keperluan bagi syarikat-syarikat korporat untuk bangun membantu kerajaan yang juga terkesan dengan masalah pandamik Covid-19.
“Inisiatif ini juga dijangka dapat menolong golongan M40 dan T20 yang terkesan dengan pandemik, di samping kerajaan memahami bahawa dua golongan inilah yang merupakan antara penyumbang golongan pembayar cukai selama ini.
“Selain itu, cukai pendapatan bagi golongan Non-SMC dinaikkan daripada 24 peratus kepada 30 peratus bermula dari Tahun Berakhir 2021.
“Kerajaan juga boleh mengguna pakai cukai bagi individu yang tertakluk kepada aturan seksyen 7 oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menerima pendapatan dalam klasifikasi seksyen 4(a), (b) dan (e) oleh Akta yang sana hendaklah dilepaskan bagi Tahun Taksiran 2021,” jelasnya. – UTUSAN










