Bajet 2022 tumpu tiga keperluan utama - Utusan Malaysia

Bajet 2022 tumpu tiga keperluan utama

cukai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah merangka Bajet 2022 berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan ekonomi menerusi tiga keperluan utama iaitu melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik.

Perkara itu diumumkan Kementerian Kewangan (MoF) menerusi Kenyataan Pra-Bajet (KPB) yang pertama kali diterbitkan sebagai satu usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, belanjawan ini menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Ujar beliau, pihaknya akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan, terutamanya pihak yang teruk terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan pada 2021.

“Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan Bajet yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia.

“Kerajaan juga berharap dengan penerbitan Kenyataan Pra-Bajet ini akan membantu menetapkan tahap ekspektasi rakyat terhadap Bajet 2022 yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, bagi memastikan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik, kerajaan akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Ujarnya, Bajet 2022 turut menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara di samping usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.

Kata beliau, krisis ini mencabar kekentalan daya ketahanan ekonomi negara yang berteraskan kepelbagaian ekonomi, ketahanan fiskal serta keupayaan sistem kesihatan negara.

“Justeru, dalam usaha membina semula daya ketahanan negara, Bajet 2022 akan memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

“Krisis ini juga mendedahkan keperluan negara beralih kepada sektor industri berasaskan teknologi maka penekanan akan diberikan bagi mempercepat peralihan kepada teknologi IR4.0 selain meningkatkan kemahiran berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan,” jelasnya.

Tegas beliau, kerajaan akan menumpukan ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (Environmental, Social and Corporate Governance – ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Usaha ini menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

“Selain itu, kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan (Civil Society Organisation – CSO) dalam pelbagai bidang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan modal insan dan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN