Bajet 2022: Jangan beri ‘kejutan’ cukai - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Jangan beri ‘kejutan’ cukai

KERAJAAN komited berbincang bersama pembangkang untuk memastikan cadangan inisiatif dan langkah bajet memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengelak daripada memberi kejutan dengan pengenalan cukai-cukai baharu atau peningkatan cukai sedia ada dalam pembentangan Bajet 2022 yang dijadualkan bulan hadapan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewa­ngan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, sekiranya pengenalan cukai baharu dibuat, langkah itu mungkin menakutkan rakyat seterusnya menggendalakan proses pemulihan dan pemerkasaan ekonomi negara.

“Sebaliknya, kerajaan perlu merangka Bajet 2022 yang me­numpukan kepada elemen-elemen penyumbang kepada pertumbuhan, insentif, pelepasan cukai, galakan bagi membolehkan pemulihan negara pascapandemik berjalan lancar.

“Ketelusan dan integriti harus diutamakan. Jika perlu pinjaman baharu, nyatakan jumlah, sumber sama ada dalaman atau dari luar, perincikan ke mana hendak dibelanjakan dan biar ada aras pengukur keberkesanan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan Kenya­taan Pra-Bajet 2022 yang antara lain menekankan strategi pemantapan sistem percukaian menerusi sebuah kajian semula yang menyeluruh ke atas rangka kerja insentif cukai serta strategi meningkatkan hasil percukaian negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 akan menjadi penanda aras pemulihan ekonomi negara kerana mengandungi kebanyakan da­sar, polisi dan inisiatif baharu.

Ujarnya, rakyat, peniaga dan pelabur sudah tentu menantikan inisiatif yang lebih bersifat mampan dan mampu memberi impak yang tinggi dan pada masa sama mahu melihat penambahbaikan ke atas inisia­tif sedia ada seperti memansuhkan faedah terakru yang dikenakan kepada peminjam yang mengambil moratorium.

“Bajet 2022 harus meminimumkan jumlah perniagaan yang gulung tikar dengan memastikan golongan peniaga mendapat bantuan yang sewajarnya, bukan sahaja moratorium pinjaman tetapi moratorium sewa bangunan dan cukai taksiran.

“Selain itu, ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan agromakanan harus terus mendapat perhatian kerajaan supaya rakyat mampu menjadi warga yang berkemahiran tinggi dan mampu menjana pendapatan di peringkat global,” ujarnya.

Tambah Ahmed Razman, Bajet 2022 juga perlu menitikbe­ratkan langkah mengurangkan kadar pengangguran seminimum yang boleh kerana jumlah penganggur sehingga melepasi 700,000 orang adalah terlalu tinggi dengan lebih 200,000 graduan sedang menganggur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN