AmInvestment kekalkan penarafan ‘overweight’ sektor minyak dan gas - Utusan Malaysia

AmInvestment kekalkan penarafan ‘overweight’ sektor minyak dan gas

SEKTOR minyak dan gas terus mengalami prestasi turun naik didorong oleh sentimen pasaran dan penularan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Firma kajian AmInvestment Bank mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas berikutan pemulihan harga minyak mentah selepas mengatasi kebimbangan penularan varian Delta Covid-19, sebelum ini.

Penganalisis Alex Goh dalam catatannya berkata, harga minyak mentah Brent pulih sehingga melebihi AS$70 (RM290.78) setong pada masa ini setelah jatuh ke AS$65 (RM270.01) setong pada 20 Ogos berikutan kebimbangan varian Delta Covid-19 mengganggu permintaan global.

Dari segi unjuran harga minyak mentah Brent pula, Alex mengekalkan ramalan antara AS$65 (RM270.01) hingga AS$70 (RM290.78) setong ketika inventori Amerika Syarikat (AS) merosot sebanyak 15 peratus tahun ke hari pada 502 juta tong pada 26 Mac ke bawah tahap pra-pandemik pada 425 juta tong kini.

“Walaupun produksi AS bakal pulih dan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dapat terus menaikkan kuota pengeluaran dengan bantuan lingkungan harga minyak yang lebih baik, ia boleh dibantutkan dengan meningkatnya permintaan global di sebalik vaksin Covid-19 pada separuh kedua 2021.

“Keuntungan bersih sektor ini pada suku kedua juga meningkat 30 peratus suku ke suku kepada RM3.3 bilion, dipacu oleh kenaikan harga Petronas Chemicals Group Bhd. (PetChem), keuntungan besar MISC Bhd. dan kerugian lebih rendah dicatat Sapura Energy Bhd.,” katanya dalam nota kajian, semalam.

Beliau menjelaskan, ini sebahagiannya diimbangi oleh penggunaan gas domestik dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi untuk Petronas Gas Bhd. (PetGas) serta pengiktirafan terlambat hasil pembinaan berdasarkan sewa daripada projek penukaran, penyimpanan dan pemunggahan kapal (FPSO) Anna Nery milik Yinson Holdings Bhd.

“Secara keseluruhan, ini meningkatkan pendapatan suku kedua 2021 sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak dua mata peratusan hingga 40 peratus,” katanya.

Namun, Alex turut menyatakan, pemberian kontrak masih terjejas dipengaruhi pandemik global, sekatan pergerakan dan peralihan dasar tenaga yang menyebabkan perolehan kontrak suku kedua menyusut 33 peratus kepada RM2.2 bilion berbanding suku tahun sebelumnya.

Pada tempoh tersebut, Alex mendapati prestasi kewangan yang dicatatkan oleh lapan syarikat minyak dan gas di bawah liputan firmanya bercampur-campur, di mana tiga syarikat menyaksikan prestasi melebihi jangkaan manakala dua di bawah jangkaan dan tiga dalam lingkungan jangkaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN