PETALING JAYA: Pusat beli-belah Alamanda menghulurkan barangan makanan bernilai RM10,000 kepada petugas barisan hadapan Hospital Putrajaya.
Ia adalah sumbangan ketiga pusat beli-belah itu pada tahun ini, di mana serahan sumbangan pertama dan kedua dibuat pada 11 Februari dan 3 Mei lalu.
Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Nora’l Mohd. Said merakamkan penghargaan di atas sumbangan tersebut.
“Saya mewakili seluruh warga kerja dan rakan seperjuangan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan pusat beli-belah Alamanda di atas inisiatif murni dalam menghulurkan bantuan khususnya di kala tempoh getir ini untuk ramai pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn. Bhd., Andrew Brien berkata, sumbangan adalah kesinambungan tema `We are with you’ yang mana pihak pengurusan akan terus memperkasa tema itu untuk membantu pejuang barisan hadapan negara.
“Pendekatan aktiviti tanggungjawab sosial pada kali ini diteruskan untuk menyambung inisiatif Pusat Beli-Belah Alamanda yang sedia membantu para pejuang barisan hadapan dan kelompok komuniti,” katanya.
Beliau turut mengulas bahawa Hari Malaysia adalah sambutan yang perlu diwacanakan sebagai titik penialaian aspek kemanusiaanm dari sudut yang lebih dalam.
“Seiring dengan usaha rakyat Malaysia yang terus melawan wabak Covid-19, sokongan yang konsisten buat petugas barisan hadapan tidak boleh di ambil mudah.
“Lanjutan dari kerjasama murni dan sifat bermurah hati dalam kalangan pelbagai pihak ini secara tidak langsung akan terus memberikan semangat dan kecekalan untuk kita bersatu hati meneruskan perjuangan melawan pandemik,” katanya.
Alamanda Putrajaya dimiliki Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh Suria KLCC Sdn. Bhd. dengan keluasan merangkumi kawasan membeli-belah sebanyak 653,235 kaki persegi. – UTUSAN











