PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) meneruskan usaha kelestariannya dengan memperkenalkan program eksklusif kesetiaan pelanggan terbaharu dengan kerjasama Tupperware Brands Malaysia Sdn. Bhd. (Tupperware).
Menurut AEON, menerusi siri program kesetian terbaharunya itu, pelanggan berpeluang memiliki produk rumah mesra alam Tupperware yang menarik melalui penebusan setem yang dikumpul semasa berbelanja di pusat bel-belah berkenaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, dalam meneruskan perjalanan untuk menjadi positif terhadap alam semula jadi, AEON berusaha menggabungkan elemen kelestarian ke dalam aktiviti perniagaan teras.
Jelasnya, syarikat sangat bersyukur kerana dapat merealisasikan program kesetiaan eksklusif itu untuk para pelanggannya.
“Bersama-sama kita memperkukuhkan komitmen secara bersepadu ke arah kehidupan lestari. Ia menjadi lebih bermakna melalui kerjasama dengan Tupperware, salah sebuah syarikat antarabangsa yang tersohor dan mempunyai reputasi yang baik dengan penghasilan produk-produk mesra alam.
“Kami komited untuk membina kesedaran terhadap alam sekitar yang lebih tinggi dan mempromosikan kepentingan melindungi alam sekitar kepada pelanggan dan ekosistem kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Shafie, sepanjang program tersebut, AEON juga akan memberi diskaun istimewa kepada pelanggan yang membawa beas Tupperware sendiri untuk membeli makanan di cawangan-cawangan AEON.
Program kesetiaan pelanggan kali ini lebih istimewa kerana di samping berpeluang memiliki produk mesra alam dari Tupperware, program itu juga mempromosikan inisiatif tiada bahan buangan (waste less), berjimat (save more) dan kehijauan (go green).
Sebagai permulaan, selepas mengumpul bilangan setem minimum (20 setem fizikal untuk ahli AEON, 15 setem fizikal untuk bukan ahli dan 8 e-setem), para pelanggan boleh menebus setem-setem tersebut untuk membeli produk-produk Tupperware.
Melalui program itu, pelanggan akan diberi sekeping setem (untuk bukan ahli) dan dua keping setem (untuk ahli AEON) bagi setiap perbelanjaan sebanyak RM30 di AEON secara fizikal, manakala pembelian menerusi aplikasi myAEON world pula akan menerima e-setem. – UTUSAN










