AEON Midtown Falim pusat RiVAC - Utusan Malaysia

AEON Midtown Falim pusat RiVAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Midtown Falim, Ipoh menjadi pusat belibelah pertama untuk Program Vaksinasi Industri Peruncitan atau Retail Industry Vaccination Programme (RiVAC) yang memberi vaksinasi kepada pekerja sektor peruncitan di Ipoh, Perak.

Menurut AEON, sejumlah 10,000 dos vaksin telah diperuntukkan kepada pusat tersebut dan diberi kepada pekerja sektor peruncitan dari 7 hingga 16 September lalu untuk dos pertama, sementara dos kedua akan dilengkapkan dari 28 September hingga 7 Oktober ini.

Jelasnya, RiVAC merupakan inisiatif kerajaan dalam bentuk kerjasama strategik awam dan swasta untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja-pekerja sektor  peruncitan bagi membantu mencapai 80 peatus imuniti kelompok di negara ini.

Katanya, program itu diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, syarikat berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk melaksanakan program vaksinasi itu dengan sokongan daripada KPDNHEP.

“Matlamat kami sentiasa mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan para pemegang taruh di dalam ekosistem kami terjaga.

“Kami juga rasa berbesar hati kerana menjadi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) dan melalui perlaksanaan program ini, pusat beli-belah AEON Midtown Falim juga telah menjadi pusat RiVAC yang pertama di Perak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, RiVAC di AEON Midtown Falim merupakan kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan di AEON Taman Maluri, Kuala Lumpur Julai lalu membabitkan sejumlah 1,733 penerima vaksin.

Sementara itu, Ketua AEON BiG (M) Sdn. Bhd., Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, syarikat berterima kasih kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) atas sumbangan vaksin yang diberikan.

“Melalui program ini seramai 1,500 pekerja daripada ekosistem pusat beli-belah AEON Midtown Falim telah menerima vaksinasi mereka. Mereka akan dilengkapkan dengan dos kedua bermula 28 September ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN