PETALING JAYA: Yayasan AEON Malaysia (MAF) menyumbang sebanyak 2,000 unit peranti elektronik bernilai RM1 juta kepada pelajar daripada keluarga yang terkesan akibat pandemik menerusi inisiatif kelestarian untuk negara, Sayap Bagimu (Pendidikan).
Inisiatif tersebut turut menyaksikan penglibatan Telekom Malaysia Berhad menerusi Yayasan TM sebagai Rakan Utama yang menyediakan sambungan internet mudah alih unifi Mobile secara percuma selama 12 bulan, sementara Yayasan Peneraju mengendalikan program tuisyen percuma dalam talian selama tiga bulan menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa.
Inisiatif induk Sayap Bagimu mempunyai pelbagai cabang program kelestarian yang merangkumi Pendidikan, Khidmat Masyarakat, Perkembangan Sahsiah dan Komunikasi Kreatif, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lain-lain.
Timbalan Presiden MAF merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, bagi cabang Sayap Bagimu(Pendidikan) ini, pihaknya terpanggil untuk menyantuni para pelajar yang memerlukan agar tidak keciciran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Ujarnya, ini kerana, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan melibatkan 900,000 pelajar sekolah, didapati 36.9 peratus daripada mereka tidak mempunyai sebarang peranti elektronik dan keadaan menjadi semakin sukar apabila keluarga mereka kehilangan punca pendapatan.
“Sumbangan untuk Fasa 1 ini memfokuskan kepada pelajar Tingkatan 5 daripada keluarga B40 yang layak di tujuh negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak dan Sarawak menerusi jabatan pendidikan negeri masing-masing yang melibatkan 292 buah sekolah.
“Bagi Sayap Bagimu Fasa 2 kelak, MAF berhasrat untuk menyumbang 2,000 unit peranti elektronik lagi menerusi pengumpulan dana yang sedang giat dijalankan,” katanya dalam Majlis Pelancaran AEON Sayap Bagimu (Pendidikan) secara maya, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan turut disaksikan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datuk Pkharuddin Ghazali; Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohamad Noh; Pengarah Yayasan TM, Izlyn Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Kolonel Bersekutu (Pertahanan Awam) Teknologis Mohd. Muzzammil Ismail.
Dalam pada itu, Shafie turut memaklumkan, dalam usaha berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik secara lestari dan inklusif, AEON Group Malaysia memohon lesen perbankan digital melalui AEON Credit Service (M) Berhad.
Jelasnya, bank digital ini mampu merubah landskap dalam melebarkan sokongan kepada kumpulan yang kurang mendapat perhatian serta golongan yang tidak mempunyai kemudahan perbankan.
“Buat masa ini, masih belum ada pemain yang dapat mengintegrasi rantaian permintaan, melalui peruncitan fizikal dan digital, rantaian bekalan, melalui hubungan akrab bersama pembekal-pembekal baikpun yang besar mahupun industri kecil dan sederhana (IKS) bersama-sama dengan kebolehan perbankan di bawah satu bumbung.
“Dengan itu, kita dapat bayangkan bagaimana bank digital AEON mampu membuka peluang-peluang baharu bagi semua pemain ekosistem.
“Visi AEON adalah untuk menjadi konduktor yang dapat menambah baik masyarakat dan industri sebagai pemain ekosistem yang menyeluruh, selari dengan matlamat Sayap Bagimu, memberi sayap supaya kita semua dapat terbang bersama-sama,” ujarnya. – UTUSAN










