AEON bantu tingkat pendapatan petani, penternak kecil - Utusan Malaysia

AEON bantu tingkat pendapatan petani, penternak kecil

HASNOL Zam Zam (kiri) dan Shafie Shamsuddin (kanan) pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia AEON secara maya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) komited membantu petani dan penternak kecil meningkatkan pendapatan dengan menjalin kerjasama memasarkan produk mereka di semua rangkaian pasarayanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan kepada pengusaha tempatan, sekali gus memperkukuhkan lagi produk tempatan di pasaraya AEON.

“Kami sangat berbesar hati sekiranya mereka mahu memasarkan produk di AEON kerana kami turut menyediakan pelbagai program dan bantuan seperti Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK@AEON), sokongan logistik dan bantuan pembiayaan kewangan.

“AEON turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memperkasakan perusahaan mikro menerusi kaedah pendigitisasi yang lebih sistematik untuk pemasaran serta jualan atas talian yang efektif dan berdaya saing,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) AEON secara maya, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam.

Kempen KBBM AEON adalah sebahagian inisiatif memperkasa usahawan tempatan dengan berpotensi memberikan peningkatan permintaan dan melonjakkan pengeluaran usahawan tempatan sekali gus membantu pengukuhan aktiviti ekonomi negara.

Semua cawangan AEON dan AEON BiG di seluruh negara katanya akan terlibat dalam KBBM 2021@AEON yang menawarkan pelbagai produk menarik dengan harga yang berpatutan bermula Ogos lalu sehingga penghujung 2021.

Menurut Shafie, pihaknya turut menyasarkan jualan sehingga RM2 juta bagi setiap rangkaiannya menjelang akhir tahun ini, dipacu kadar vaksinasi kebangsaan yang semakin meningkat.

“Sebahagian besar rakyat negara kita sudah menerima dua dos lengkap dan itu akan merancakkan lagi ekonomi negara terutamanya dalam sektor peruncitan. Justeru, kami mengharapkan yang lebih baik dalam separuh kedua 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hasnol ketika ucapan perasmiannya berkata, kempen beli barangan Malaysia memainkan peranan utama dalam memastikan ekonomi domestik terus kekal berdaya saing serta mampu mengharungi cabaran Covid-19.

Tegasnya, ekonomi negara dapat dipulihkan dengan lebih mampan serta merangsang ekonomi tempatan melalui pemerkasaan rakyat serta lonjakan perniagaan.

“Usaha AEON adalah contoh penglibatan bersama pihak swasta yang sentiasa aktif dalam merancang serta melaksanakan inisiatif bagi menyokong pelan kerajaan meningkatkan jualan sektor peruncitan.

“KPDNHEP melihat usaha AEON melaksanakan pelbagai program yang seiring dengan hasrat kerajaan seperti PUPUK@AEON sekali gus memberikan harapan kepada usahawan tempatan untuk terus berusaha melonjakkan perniagaan mereka seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN