
MELAKA: Belacan udang geragau cukup sinonim dengan Melaka terutama dalam kalangan pelancong domestik apabila berkunjung ke negeri ini.
Tidak sah apabila bertandang ke negeri yang penuh peninggalan sejarah dari zaman Portugis, Belanda dan Inggeris ini tidak membawa pulang buah tangan iaitu belacan.
Premis penjualan makanan tradisional sudah pasti akan menjual belacan tersebut kerana mendapat permintaan yang tinggi.
Dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, belacan banyak digunakan dalam pelbagai resipi masakan kerana menjadi bahan penambah perasa yang amat menyelerakan.
Maka, tidak hairanlah permintaannya begitu tinggi hingga wujud ramai pengusaha komersial.
Di Melaka, majoriti pengusaha masih menggunakan kaedah tradisional, kebanyakan mereka beroperasi di sekitar Klebang, Pantai Puteri dan Pengkalan Balak.
Kawasan tersebut menjadi tumpuan pembuatan belacan kerana pantainya dapat membekalkan udang geragau setiap kali musim menangkap tiba.
Seorang pengusaha, Aini Abd. Majid, 63, berkata, dia mula berjinak-jinak dengan industri tersebut sejak zaman remaja.
Kata Aini, resipi dan kemahiran banyak diajar oleh arwah datuk dan neneknya.

Ujarnya, membuat belacan tidak sesukar menghasilkan cencaluk, walaupun masih menggunakan kaedah tradisi.
Setelah berkahwin, jelasnya, dia dan suami, Mohd. Yusof Isnin menjadikan belacan sebagai mata pencarian untuk menyara kehidupan keluarga.
“Saya mula menjadikan belacan sebagai mata pencarian sejak 1986 apabila suami bersara awal sebagai tentera.
“Kami berdua membuat belacan di Kampung Batang Tiga, Klebang. Berniaga di tepi jalan yang akhirnya mempunyai gerai yang disewa daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Perniagaan kami sangat maju, permintaan ketika itu begitu tinggi hingga tidak menang tangan membuatnya.
“Kami mampu beli rumah, kereta dan membesarkan enam anak hingga mereka belajar ke peringkat universiti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya lagi, dahulu dia mampu menghasilkan kira-kira 600 kilogram (kg) belacan sebulan berikutan mudah mendapatkan bekalan udang geragau dalam jumlah besar.
Tetapi sekarang, katanya, bekalan bahan mentah semakin terhad disebabkan penambakan Pantai Klebang dan pelbagai lagi projek pembangunan.
“Inilah masalah yang bukan sahaja saya hadapi tetapi juga rakan pengusaha lain. Bekalan udang geragau semakin sukar diperolehi.
Tetapi mujurlah saya ada pembekal tetap dan bekalan tidak terputus,” ujarnya. – UTUSAN










