Vale, Jabatan Laut bekerjasama beri vaksin - Utusan Malaysia

Vale, Jabatan Laut bekerjasama beri vaksin

RODRIGO Ribeiro de Araujo (tengah) dalam sidang akhbar mengenai pembukaan PPVIN kelolaan Vale dan JLMWU di Manjung, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vale Malaysia (Vale) bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara (JLMWU) dalam memberikan vaksin Covid-19 kepada para pekerja industri maritime di daerah Manjung.

Vale merupakan antara syarikat perlombongan terbesar di dunia yang mengendalikan hab pengedaran bijih besi di daerah itu. Sebanyak RM430,000 telah didermakan oleh Vale bagi menjayakan program vaksinasi berkenaan.

Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPVIN) Khas industri maritim telah dibuka di Ritz Garden Hotel dan mula beroperasi semalam, dengan bekalan vaksin disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pusat itu juga dikendalikan oleh syarikat perkhidmatan kesihatan terkemuka dunia, International SOS.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale, Rodrigo Ribeiro de Araujo berkata, pihaknya yakin vaksinasi menyumbang kepada kemampanan industri maritim di Manjung.

“Industri itu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, terutamanya golongan muda.

“Melalui bantuan yang diberikan kepada industri serta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memastikan keselamatan warga setempat, kami berharap usaha kami ini dapat menjamin mata pencarian serta melindungi kelangsungan hidup warga Manjung,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pusat itu akan membantu mengurangkan bebanan infrastruktur vaksinasi setempat, dan membolehkan kerajaan menumpukan perhatian dalam pemberian vaksin kepada penerima lain, terutamanya golongan rentan.

Beliau memberitahu, seramai 600 penerima akan divaksin setiap hari di pusat itu yang beroperasi hingga hujung bulan ini.

Rodrigo berkata, pihaknya menghargai sokongan daripada JLMWU, Kementerian Pengangkutan, MOSTI serta Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menjayakan inisiatif itu.

Pihaknya percaya vaksinasi adalah kunci dalam memastikan kemaslahatan penduduk setempat.

Sementara itu, Pengarah JLMWU, Mohd. Hafiz Abdul Majid berkata, pihaknya menyambut baik usaha proaktif Vale dalam memberikan perlindungan vaksinasi yang tidak hanya tertumpu kepada kakitangan Vale dan ahli keluarga mereka, malahan juga kakitangan syarikat- syarikat lain dalam industri maritim di Manjung.

“Buat julung kalinya, kami mendapat sokongan daripada pelabur asing bagi tujuan ini. Inisiatif murni ini selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Setakat ini, seramai 2,744 individu telah mendaftar bagi program vaksinasi itu dan kira-kira 200 penerima daripada jumlah tersebut merupakan pekerja Vale.

Penerima selebihnya adalah termasuk ahli keluarga kakitangan Vale serta para pekerja yang berkhidmat dengan 17 rakan niaga Vale yang telah mengambil bahagian dalam program vaksinasi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN