PETALING JAYA: Hong Leong Financial Group Berhad mencatatkan keuntungan 22 peratus lebih tinggi untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 pada RM2.3 bilion berbanding keuntungan yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Menurut syarikat perbankan itu, prestasi yang lebih baik itu didorong sumbangan kukuh daripada semua perniagaannya yang beroperasi termasuk bahagian perbankan komersial, Hong Leong Bank; bahagian insurans, HLA Holdings Sdn. Bhd. dan bahagian perbankan pelaburan, Hong Leong Capital Berhad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Kong Khoon berkata, pihaknya berjaya mencatatkan prestasi yang baik dalam semua perniagaan terasnya walaupun berhadapan cabaran pandemik Covid-19.
Kata beliau, pihaknya menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih secara beransur hasil pengedaran vaksin dan jangkaan kemajuan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dalam pada itu, kami perlu terus menguruskan risiko perniagaan utama kami dengan cermat dan memastikan pelan kelangsungan perniagaan kami terus dalam landasannya.
“Kami menjangkakan kumpulan akan terus berdaya tahan dan memanfaatkan kekuatan kami dari segi disiplin kecairan, modal dan kredit sementara mengekalkan tumpuan kukuh pada pada pengurusan risiko,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut HLFG, usahanya dalam perkhidmatan kewangan Islam terus menunjukkan hasil apabila perniagaan takaful dan perbankan Islamnya mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM955 juta, meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun.
Katanya, sumbangan perniagaan Islamik kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah sebanyak 14.2 peratus.
“Nilai buku setiap saham meningkat dari RM18.43 pada 30 Jun 2021 kepada RM20.13 pada 30 Jun lalu,” katanya.
Kumpulan itu mengumumkan dividen akhir sebanyak 29.3 sen setiap saham.
Menurutnya HLFG, termasuk dividen interim sebanyak 10.8 sen setiap saham, pihaknya akan mengumumkan jumlah dividen sebanyak 40 sen setiap saham untuk tahun kewangan 2021.
Sementara itu, Hong Leong Bank (HLB) turut mencatatkan prestasi yang lebih baik dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM2.86 bilion, meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN










