
PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan keuntungan bersih 114 peratus lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2021 pada RM32.6 juta berbanding RM13.35 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Pendapatan suku kedua syarikat perladangan itu juga meningkat kepada RM176.15 juta, meningkat 38 peratus berbanding tahun lalu.
Prestasi separuh pertama syarikat itu turut meningkat dengan signifikan apabila merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM52.17 juta, jauh lebih tinggi berbanding RM0.4 juta yang dicatatkan tahun lalu manakala pendapatannya meningkat 26.44 peratus kepada RM307.39 juta dalam tempoh tersebut.
Menurut THP, prestasi lebih baik yang dicatatkan disumbang oleh kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), pengurusan kos yang efektif dan peningkatan kecekapan.
“Keseluruhan industri sawit secara relatif mencatatkan pengeluaran MSM yang lebih rendah pada suku kedua 2021 sebanyak 9.33 peratus berbanding suku sama 2020.
“Ini kerana industri ini belum pulih sepenuhnya daripada kitaran rendah musim pengeluaran, kesan cuaca dan masalah kekurangan tenaga kerja yang berterusan.
“Kumpulan menghasilkan 41,055.45 tan metrik MSM pada suku kedua 2021, 10.45 peratus lebih rendah berbanding suku sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Walau bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan harga minyak sawit akan tetap kukuh dan berada pada paras yang baik.
Jelasnya, ia berikutan keseluruhan tahap inventori di Malaysia masih rendah, peningkatan permintaan dan bekalan minyak boleh dimakan global yang ketat. – UTUSAN










