PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM2.62 bilion untuk separuh pertama berakhir 30 Jun lalu, peningkatan 233 peratus berbanding RM785 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut syarikat perbankan itu, prestasi cemerlang itu didorong pendapatan operasi yang lebih tinggi, pembendungan kos yang kukuh dan peruntukan yang secara signifikan lebih rendah berbanding hasil asas lebih rendah yang dicatatkan pada separuh pertama 2020 yang terkesan akibat pandemik COvid-19.
Syarikat itu turut merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) teras yang lebih tinggi pada RM3.62 bilion, berbanding RM910 juta yang dicatatkan tahun lalu.
“Prestasi tersebut diterjemahkan kepada pendapatan setiap saham (EPS) teras sebanyak 26.3 sen dan pulangan pada puarat ekuiti (ROE) tahunan separuh pertama 2021 sebanyak 9.2 peratus.
“Sehubungan itu, kumpulan telah mencadangkan dividen interim pertama sebanyak 10.44 sen setiap saham tahun ini, atau 40 peratus nisbah pembayaran berdasarkan untung bersih teras selari dengan polisi dividen kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, prestasi baik kumpulan itu mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam pelan strategik Forward23+ serta momentum daripada pemulihan ekonomi yang dirasai sejak suku pertama 2021.
Kata beliau, walaupun dicabar peningkatan kes Covid-19 di seluruh rantau, CIMB Group mendapat manfaat daripada pemulihan pendapatan yang positif pada separuh pertama 2021 selepas mengambil kira kesan asas rendah pada setahun lalu, didorong peningkatan dalam margin faedah bersih (NIM), tumpuan kos berterusan dan peruntukan yang rendah.
“Pada masa yang sama, kami gembira melihat perniagaan digital kami terus membina momentum. Pengguna berdaftar TNG Digital meningkat kepada 16.1 juta, penambahan 600,000 pengguna pada 2021 sahaja.
“GO+, tawaran pelaburan dalam Touch ‘n Go eWallet juga telah mencapai 1.2 juta pelabur dalam tempoh tiga bulan, dengan jumlah aset yang diuruskan (AUM) sebanyak RM112 juta setakat Jun lalu.
“Begitu juga, dalam rantau ini, CIMB Filipina mencapai 3.9 juta pelanggan dan tempahan deposit sebanyak RM1.1 bilion dengan 400,000 pelanggan ditambah pada suku kedua 2021,” katanya. – UTUSAN










