PETALING JAYA: Ramssol Group Berhad merekodkan perolehan sebanyak RM7.71 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2021, peningkatan 51.77 peratus daripada RM5.98 juta dicatatkan suku sebelumnya.
Bagi tempoh dilaporkan, syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM2.01 juta, peningkatan sebanyak 136.47 peratus daripada RM0.85 juta suku sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat turut meningkat sebanyak 136.90 peratus kepada RM1.99 juta daripada RM0.84 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021.
Menurut Ramssol, peningkatan dalam perolehan dan keuntungan bersih itu disumbangkan terutamanya oleh projek-projek teknologi aplikasi Pengurusan Sumber Manusia (HCM) di negara ini.
“Berdasarkan segmentasi geografi, Malaysia dan Singapura merupakan penyumbang utama kepada perolehan keseluruhan syarikat. Malaysia kekal sebagai pasaran utama dengan sumbangan sebanyak RM6.59 juta atau 85.47 peratus kepada perolehan, diikuti Singapura sebanyak RM0.64 juta atau 8.3 peratus,” jelasnya dalam kenyataan.
Untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, Ramssol mencatatkan perolehan sebanyak RM12.79 juta, sementara PBT dan PAT masing-masing berjumlah RM2.85 juta dan RM2.83 juta.
Mengulas prestasi tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Cllement Tan Chee Seng berkata, ketidaktentuan pandemik Covid-19 terus mewujudkan risiko kepada kebanyakan perniagaan, dengan setiap negara mempunyai kaedah lockdown tersendiri menyebabkan syarikat-syarikat terpaksa membuat penyesuaian kepada polisi bekerja dari rumah.
Katanya, begitu juga dengan institusi pendidikan yang perlu beradaptasi dengan kurikulum pembelajaran dari rumah.
Tambah beliau, perkembangan tersebut membuka peluang kepada syarikat yang percaya permintaan untuk solusi HCM dan aplikasi teknologi akan terus berkembang kukuh.
“Trend yang berlaku menunjukkan bahawa Ramssol boleh terus membantu memacu prestasi perniagaan melalui penyelesaian teknologi kreatif dan `empowering’ aktiviti perniagaan harian organisasi,” katanya. – UTUSAN










