PETALING JAYA: Keuntungan bersih bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) meningkat 49.4 peratus bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 kepada RM30.6 juta berbanding RM20.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi tempoh separuh pertama 2021, untung bersih Kumpulan melonjak empat kali ganda kepada RM64.7 juta daripada RM13.5 juta pada separuh pertama 2020.
Hasil disatukan bagi suku semasa berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi berbanding RM210.6 juta pada 2020 manakala Pulangan Tahunan ke atas Ekuiti (ROE) sebanyak 12.8 peratus berbanding 10.7 peratus sepanjang tahun lalu.
Prestasi Kumpulan turut mencatat perolehan yang lebih kukuh dipacu perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, ekonomi skala terutamanya dalam bahagian pembrokeran saham dan Rakuten Trade membantu mempertingkatkan keuntungan kumpulan.
Ujarnya, dengan infrastruktur digital berada pada kedudukan yang kukuh, kos memperoleh dan mengekalkan pelanggan baharu telah berkurang seiring dengan perkembangan kami.
“Meskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia berkurang berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat penularan semula jangkitan Covid-19, kami berharap ekonomi akan pulih segera seiring kelancaran program vaksinasi kebangsaan.
“Kami akan kekal menumpukan kepada usaha memperkukuh asas perniagaan kami dan mengembangkan penawaran semasa bagi memastikan kumpulan kekal berdaya tahan dan tangkas dalam memberikan respons kepada keperluan yang berubah-ubah dalam perniagaan teras yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Segmen pembrokeran saham terus menjadi penyumbang perolehan utama Kumpulan selepas meningkat sebanyak 45.3 peratus kepada RM20 juta pada suku kedua 2021 berbanding RM13.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Sumbangan keuntungan sebelum cukai (PBT) daripada bahagian pelaburan dan pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan.
Rakuten Trade, usaha sama Kumpulan dan broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6,800 akaun bagi suku kedua 2021.
Akhir Jun lalu, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217,400 akaun, iaitu 51,600 melebihi jumlah yang diperolehnya tahun lalu. – UTUSAN










