PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd. mengumumkan keuntungan bersih suku kedua bagi tahun kewangan 2021 melonjak kepada RM338.82 juta berbanding RM20.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan turut mencatatkan prestasi lebih baik berbanding suku pertama yang merekodkan kerugian bersih RM35.42 juta.
Perolehan kumpulan juga melonjak sebanyak 42 peratus kepada RM4.68 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM3.29 bilion manakala keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM501 juta berbanding RM18 juta tahun lalu.
Prestasi tersebut dipacu peningkatan margin produk minyak sawit yang tinggi, margin pendapatan kasar bertambah baik bagi perniagaan gula dan jumlah kargo yang dikendalikan menerusi perniagaan logistik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, kumpulan kekal berdaya tahan didorong usaha ketika berdepan cabaran pandemik.
Ujarnya, kumpulan masih mencatat keuntungan kukuh di sebalik cabaran pandemik Covid-19 yang berterusan dan masalah cuaca kering berpanjangan.
“Kemunculan varian Delta dan pelaksanaan sekatan pergerakan berpanjangan akan terus menjejaskan industri minyak sawit Malaysia secara menyeluruh.
“Justeru, bagi mengekang impak penularan wabak terutama ke atas sektor perladangan, FGV mempercepat program vaksinasi bagi semua pekerja sebagai satu usaha mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja,” katanya ketika mengumumkan prestasi suku kedua kumpulan secara maya, semalam.
Menurut beliau, sektor logistik akan terus menerapkan strategi untuk meningkatkan jumlah penjualan, margin, dan kecekapan operasi.
“Walaupun berdepan keadaan yang tidak terjangka, kumpulan optimis prestasi untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 akan seiring dengan perkembangan industri,” jelasnya.
Kumpulan turut melaporkan keuntungan nilai saksama bagi perjanjian pajakan tanah (LLA) sebanyak RM180 juta berbanding caj nilai saksama terhadap LLa sebanyak RM76 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan tersebut terutama disumbang menerusi semakan terhadap anggaran hasil yang digunakan untuk mencapai liabiliti LLA.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, FGV merekodkan untung bersih sebanyak RM303.4 juta berbanding kerugian bersih RM121.8 juta separuh pertama 2020. – UTUSAN










