PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM14.4 juta daripada pendapatan sebanyak RM1 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, berbanding kerugian sebanyak RM15.2 juta dan perolehan RM950.3 juta tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan bersih direalisasikan syarikat untuk tempoh separuh pertama 2021 berjumlah RM16.7 juta berbanding RM34.8 juta tempoh sama 2020.
Syarikat merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM29.6 juta pada tempoh dilaporkan, berbanding RM4 juta enam bulan pertama tahun lalu.
Menurut UEM Edgenta, bagi tempoh suku kedua tahun ini, syarikat merekodkan perolehan sebanyak RM538.6 juta, peningkatan 11.4 peratus daripada RM483.6 juta suku sebelumnya. Keuntungan bersih bagi tempoh berkenaan bagaimanapun susut 22.4 peratus daripada RM8.1 juta kepada RM6.3 juta.
Buku pesanan semasa syarikat berjumlah RM11.6 bilion, dengan kontrak baharu dijamin sebanyak RM720 juta bagi tahun kewangan 2021.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, UEM Edgenta bertahan pada separuh pertama tahun ini dengan menunaikan janji kepada pelanggan di tengah-tengah cabaran persekitaran operasi.
“Kontrak yang kami menang di seluruh perniagaan kami hingga kini berjumlah RM720 juta, adalah demonstrasi usaha berterusan kami untuk memperkukuh kehadiran kami di pasaran teras dan baharu, selain memperluaskan penyelesaian dan perkhidmatan kami.
“Kami juga berada di landasan yang betul dengan rancangan transformasi kami sebagai sebahagian daripada Visi Edgenta of the Future 2025 dengan pelancaran platform ekosistem digital pertama kami, Edgenta NXT, serta QuickMed, penyelesaian penjagaan kesihatan digital pertama berasaskan cloud,” katanya.
Syahrunizam turut menekankan bahawa syarikat akan terus memberi tumpuan dalam mengurus kos dan mengekalkan pengurusan aliran tunai berhemah untuk memastikan daya tahan perniagaan sambil terus berusaha mencari peluang dan pelaburan berpotensi dalam perniagaan terpilih. – UTUSAN










