TNB, SOCAR bekerjasama pacu penggunaan EV - Utusan Malaysia

TNB, SOCAR bekerjasama pacu penggunaan EV

DATA permintaan yang dikongsikan akan menentukan lokasi, jumlah serta jenis pengecas yang perlu dipasang, termasuk pengecas pantas arus terus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memanfaatkan perkongsian data permintaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sebagai sebahagian daripada kerjasama mereka untuk mendorong penggunaan EV.

Usaha itu sejajar dengan usaha negara dan global bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada sektor pengangkutan, yang dianggarkan menyumbang kira0kira 21 peratus pelepasan gas karbon dioksida di Malaysia pada 2016.

MoU berkenaan menggariskan pelan TNB untuk memanfaatkan data penggunaan kenderaan dan tabiat perjalanan milik SOCAR bagi mengenal pasti lokasi strategik di sepanjang laluan-laluan utama bagi pemasangan infrastruktur pengecasan.

“Data permintaan yang dikongsikan akan menentukan lokasi, jumlah serta jenis pengecas yang perlu dipasang, termasuk pengecas pantas arus terus (DC),” kata kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, SOCAR dengan kepakaran menguruskan flit dan sumber datanya yang luas, menyasarkan untuk menambah kekuatan flit kepada ratusan EV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ia termasuk pelancaran sehingga 50 zon EV menjelang penghujung tahun depan.

LEON FOONG

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR, Leon Foong berkata, sebagai penyedia mobiliti fleksibel yang dikuasakan teknologi dengan tumpuan ke arah masa depan, syarikat komited untuk memacu penggunaan mobiliti lestari.

“Bagi kami, ini bermakna menggunakan platform dan sumber kami untuk membolehkan lebih ramai pemandu merasai manfaat memandu EV, sekali gus membantu mereka beralih daripada kereta konvensional yang dikuasakan oleh bahan api fosil,” katanya.

Jelas kenyataan itu, di Malaysia, kadar penembusan EV yang rendah, merangkumi kurang 0.05 peratus daripada anggaran 14.5 juta kereta peribadi berdaftar di negara ini, mewujudkan ruang yang lebih luas untuk pertumbuhan dari segi penggunaan, jika model perkongsian kereta dapat membantu mendidik para pengguna mengenai betapa mudahnya penggunaan EV.

MEGAT JALALUDDIN MEGAT HASSAN

Sementara itu, Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB menyokong gerakan e-mobiliti dalam sektor pengangkutan bagi menggalakkan
penggunaan EV yang lebih tinggi di negara ini.

Beliau berkata, dengan agenda perniagaan TNB yang berteraskan kelestarian, syarikat utiliti itu sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang berkongsi matlamat sama seperti DHL Express Malaysia dan SOCAR dalam menjayakan inisiatif mobiliti rendah karbon.

“TNB bersedia memainkan peranan utama dalam memacu penggunaan EV di Malaysia, terutama di kalangan pengendali pengurusan flit dan salah satu daripada langkah utama bagi  mencapai matlamat ini adalah dengan memperbanyakkan lagi zon pengecasan EV yang akan digunakan secara optimum berdasarkan maklumat sedia ada mengenai penggunaan laluan perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN