PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaporkan pemulihan berperingkat prestasinya dalam separuh pertama tahun kewangan 2021 selepas mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.8 bilion, meningkat daripada RM1.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi positif itu dipacu peningkatan aktiviti ekonomi dan pemulihan permintaan sektor industri namun masih rendah berbanding separuh pertama 2019 (sebelum pandemik) pada RM2.7 juta.
Jualan elektrik meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 59,304 GWh berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala pertumbuhan permintaan dipacu oleh sektor industri yang menunjukkan peningkatan permintaan sebanyak 15.4 peratus.
Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal pada 40.6 peratus dalam separuh pertama 2021, berikutan peningkatan dalam pendapatan yang menyederhana disebabkan perbelanjaan lebih tinggi sebanyak RM507.2 juta yang sebahagian besarnya disebabkan kos bukan penjanaan dan peruntukkan lebih tinggi untuk hutang ragu sebanyak RM326.6 juta bagi tempoh itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemulihan secara berperingkat dilihat pada EBITDA dan PAT sebahagian besarnya berikutan pendapatan elektrik kumpulan yang lebih tinggi disebabkan pembukaan semula perniagaan tahun ini.
“Prestasi anak-anak syarikat kami juga semakin meningkat oleh kerana lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi.
“Meskipun dalam persekitaran yang mencabar, TNB terus menepati polisi dividen dengan memberi pemegang saham bayaran dividen interim sebanyak RM1.26 bilion, bersamaan dengan dividen sesaham sebanyak 22 sen,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, Baharin turut mengumumkan hala tuju kelestarian TNB dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, sebagai satu langkah ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Ujarnya, hala tuju baharu ini adalah terjemahan jelas matlamat kelestarian TNB yang bermula 2016 dengan pelancaran pelan strategik Reimagining TNB.
“Menjelang ke arah komitmen 2035, kami akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada kami dan meningkatkan portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui kami. Sasaran kami adalah untuk mencapai 8,300MW RE menjelang 2025.
“Kami percaya titik lengkuk balas antara tahun 2035 dan 2040 akan menentukan kadar trajektori sifar bersih kami. Justeru, dalam menuju ke tahap itu, TNB komited untuk membangunkan solusi penyimpanan tenaga dan kini dalam perbincangan dengan Kerajaan untuk melaksanakannya sebagai satu langkah bagi pertumbuhan RE.
“TNB juga komited untuk memacu pelaburan dalam teknologi hijau baru seperti hidrogen hijau serta pemerangkapan dan penggunaan karbon (CCU) sebaik sahaja ia berdaya maju secara ekonomi,” tambahnya. – UTUSAN










