PETALING JAYA: TIME dotCom Bhd. (TIME), penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) serantau yang menawarkan perkhidmatan awan, pusat data dan sambungan, telah beralih kepada IBM untuk memodenkan operasi rangkaiannya.
TIME akan menggunakan IBM Cloud Pak untuk rangkaian automasi supaya operasi rangkaiannya lebih cekap dan fleksibel di pelbagai persekitaran selain dapat meningkatkan kelajuan penyampaian untuk perkhidmatan baharu.
Ketua Pegawai Teknologi TIME, Ang Thing Jiun berkata, automasi rangkaian akan membolehkan pihaknya untuk menggunakan perkhidmatan dengan mudah untuk mengekalkan operasi mengikut skala.
“Pengurusan kitaran hidup automatik dapat memberi manfaat kepada pelanggan dengan memberi fleksibiliti dalam perancangan, pelaksanaan dan operasi rangkaian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Malaysia, Catherine Lian berkata, dengan menaik taraf infrastruktur rangkaian dan menggunakan perisian pengurusan yang baharu seperti IBM Cloud Pak untuk automasi rangkaian, TIME dapat mempercepatkan penyampaian perkhidmatan inovatif kepada pelanggan dan mendorong visi negara untuk mencapai ekonomi digital.
“Bekerja dengan kami akan membolehkan TIME melaksanakan aliran kerja berskala besar yang sistematik dan memberikan penyambungan terbaik kepada pelanggan untuk memastikan pelanggan dapat menikmati penyambungan yang pantas dan konsisten,” katanya.
IBM Could Pak untuk automasi rangkaian adalah perisian pengurusan bagi CSP yang membantu menyampaikan fungsi rangkaian virtualisasi (NFV), termasuk operasi tanpa sentuhan, mengurangkan kos dan memberi perkhidmatan inovatif yang pantas kepada pelanggan.
Ciri-ciri baharu itu merangkumi tiga bidang utama iaitu, pengurusan kitaran hayat perkhidmatan automatik dari hujung ke hujung, perkhidmatan langgan sendiri dan pengaktifan pelanggan serta operasi tertutup untuk ketahanan. – UTUSAN










