KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Berhad merekodkan jualan sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu.
Jualan itu merupakan peningkatan sebanyak 83.9 peratus daripada RM712.5 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun kewangan 2020.
Menurut Sime Darby Property, bagi tempoh separuh pertama tahun ini, syarikat mencatatkan peningkatan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 42.8 peratus dan 227.4 peratus kepada masing-masing RM1.1 bilion dan RM152.3 juta daripada tempoh sama tahun lalu.
“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM80.5 juta yang direkodkan merupakan peningkatan yang kukuh berbanding kerugian pada H1 TK2020 sebanyak RM90.3 juta,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, syarikat akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam separuh kedua untuk mengekalkan momentum pertumbuhan positif sepanjang tahun kewangan 2021.
Kata beliau, usaha akan ditumpukan kepada pengukuhan operasi dan kedudukan kewangan bagi memastikan ketahanan syarikat.
“Kami sedang mempercepatkan kepelbagaian pendapatan syarikat melalui segmen produk lot dan tanah perindustrian yang kini merangkumi sebanyak 17.8 peratus daripada portfolio jualan Sime Darby Property.
“Ini digandingkan pula dengan fokus syarikat dalam melancarkan projek-projek di lokasi yang strategik pada titik harga yang tepat, penciptaan nilai baharu melalui pengurusan bank tanah (land bank) dan pengurusan kos yang bewaspada bagi baki tahun kewangan ini,” kata beliau.
Mengenai propek untuk tahun ini, syarikat menjangkakan tempoh enam bulan kedua tahun ini lebih mencabar terutama disebabkan cabaran operasi daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown yang berterusan.
Jelasnya, walaupun sektor hartanah telah dibenarkan kembali beroerasi pada akhir Julai lalu, proses untuk mengembalikan momentum operasi syarikat akan mengambil masa memandangkan kerja-kerja perlu dijalankan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Sime Darby Property akan berusaha untuk mencapai sasaran jualan RM2.4 bilion, disokong dengan prestasi jualan separuh pertama tahun kewangan 2021 yang kukuh sebanyak RM1.3 bilion.
“Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pelan jualan separuh kedua tahun ini adalah RM2.1 bilion. Selain itu, jualan belum dibil berjumlah RM1.8 bilion setakat 30 Jun 2021 menunjukkan potensi syarikat dalam meningkatkan perolehan masa hadapan,” kata Azmir. – UTUSAN










