Sime Darby, Porsche jalin kerjasama pemasangan kenderaan - Utusan Malaysia

Sime Darby, Porsche jalin kerjasama pemasangan kenderaan

KILANG pemasangan Porsche oleh Sime Darby adalah yang pertama di luar Eropah. - GAMBAR/SIME DARBY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime Darby) akan menjalinkan kerjasama dengan Porsche AG (Porsche) untuk memasang kereta sukan buat pasaran Malaysia.

Kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan bermotor Sime Darby yang akan bermula pada 2022 itu akan menjadi kilang pemasangan Porsche yang pertama di luar Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, diberi kepercayaan untuk memasang kereta untuk salah satu jenama kereta sukan terkemuka dunia membuktikan bakat yang ada di Sime Darby berkualiti, berkelayakan dan kompeten.

“Portfolio pemasangan adalah elemen penting dalam strategi pertumbuhan kami dan kami berbesar hati untuk memperluas hubungan kami dengan Porsche daripada peruncitan dan pengedaran serta selepas ini, pemasangan.

“Setiap Porsche yang dipasang oleh Sime Darby akan melalui operasi standard yang ketat. Kualiti akan menjadi komitmen utama yang dikongsi bersama antara Sime Darby dan Porsche untuk semua pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pihaknya akan meneruskan hubungan yang erat mereka bersama Porsche untuk memastikan pihaknya dapat mencapai standard Porsche di setiap langkahnya.

Sementara itu,  Ahli Lembaga Eksekutif Penjualan dan Pemasaran Porsche, Detlev Von Platen berkata, Malaysia dan seluruh ASEAN adalah wilayah yang berpotensi besar dan pihaknya tidak sabar untuk melakukan pemasangan model tempatan pertama yang akan menarik perhatian pelanggannya di Malaysia pada tahun hadapan.

“Memandangkan Porsche sedang menuju ke era mobiliti yang baharu, Malaysia dan rantau ASEAN akan memperoleh kepentingan yang lebih besar.

“Langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang kami untuk mengikuti permintaan pelanggan dan pasaran yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Sime Darby yang merupakan antara kumpulan automotif terkemuka di Asia Pasifik, telah menjadi rakan kongsi pilihan Porsche di Malaysia sejak 11 tahun yang lalu, mewakili Porsche sebagai pengedar dan peruncit eksklusifnya untuk jenama kereta sukan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN